Orang ramai tidak dapat memastikan kesahihan apa juga berita terutama sekali yang dikongsi di dalam media sosial dan WhatsApp.

Ia amat bahaya bagi pentadbiran kerajaan yang kerap kali terpaksa menepis pelbagai fitnah yang dilemparkan termasuk berita yang kurang tepat daripada individu tertentu kerana ia tidak putus-putus disebarkan secara meluas.

Sekiranya tidak dibendung dari sekarang, penularan berita palsu sedemikian akan menjadi penyakit dalam masyarakat di negara ini.

Pihak kerajaan hendaklah tegas atas sikap melampau setengah-setengah pihak yang tidak bertanggungjawab seolah-olah mempersenda akan kewibawaan pemerintah menangani situasi yang agak sensitif ini.

Kuatkuasakan undang-undang dengan tegas agar pada masa akan datang masyarakat di negara ini lebih berdisiplin dan bertanggungjawab. Memanglah rakyat diberikan kebebasan oleh kerajaan baharu untuk meluahkan apa juga rasa tidak puas hati menegur pimpinan di atas.

Namun, biarlah berpada-pada dan tidak melampaui batas sehingga buat kecoh atau kerenah di laman-laman web dan media sosial. Bayangkan setiap berita palsu atau fitnah tular dari satu kumpulan kepada kumpulan lain tanpa ada sekatan, dalam beberapa saat sahaja boleh tersebar meluas.

Suasana kecoh dan tidak menentu boleh menyebabkan pergaduhan di alam maya. Sekat segala berita palsu atau pun unsur-unsur fitnah yang disebarkan setiap hari oleh individu-individu yang mungkin diupah oleh musuh-musuh yang bencikan kerajaan.

Hukuman yang setimpal bagi mereka yang tidak bertanggungjawab ini ialah hukuman rotan supaya menjadi pengajaran selain dikenakan hukuman penjara.

SYED ABDULLAH OSMAN JAMALULLAIL

Negeri Sembilan