UMNO di bawah pentadbiran Tok Mat haruslah memberi lebih banyak peluang kepada generasi mudanya bagi mencorak parti di era Malaysia baharu.

Ketika ini UMNO mempunyai ramai tenaga mahir baik dalam pelbagai bidang yang mampu digunakan sebagai aset tambahan dalam Tok Mat menstruktur semula parti sesuai dengan ucapan beliau sewaktu merasmikan perhimpunan sayap UMNO pada September lalu.

Tok Mat mahukan golongan muda mencorakkan UMNO kerana sejak sekian lama UMNO ditohmah sebagai parti orang lama dan kini sudah sampai masanya untuk berubah menjadi parti yang benar-benar mengoptimumkan penggembelengan tenaga muda dari segi pemikiran, tenaga dan gerak kerja.

Bagi golongan ‘otai’ parti, pengalaman mereka masih lagi berguna iaitu sebagai pembimbing dan penasihat kepada setiap gerak kerja yang mahu dilaksanakan sekali gus boleh dianggap sebagai nilai tambah dalam perjuangan parti itu sendiri.

Menyorot kembali sejarah UMNO, parti itu dahulunya merupakan parti orang muda. Sebagai bukti, Tun Abdul Razak menjadi Timbalan Perdana Menteri ketika itu pada usia 33 tahun, Tan Sri Anuar Musa menjadi menteri pada usia 34 tahun dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi timbalan menteri pada usia 25 tahun.

Dalam kalangan ahli Parlimen pula menyaksikan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi ahli Parlimen pada usia 31 tahun, bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad pada usia 29 tahun.

Malah UMNO pada suatu ketika dahulu merupakan antara parti yang meletakkan orang muda menjadi menteri besar di Selangor dan Negeri Sembilan pada 1982 dan 2000.

Kekuatan tenaga dan ketokohan orang muda dalam UMNO perlu diketengahkan dalam semua struktur parti bermula di peringkat ahli Majlis Tertinggi (MT) yang ketika ini bilangan orang muda di bawah usia 37 tahun amat sedikit.

Dicadangkan tempat mana-mana ahli MT yang telah meninggalkan parti itu digantikan dengan tenaga profesional muda.

Dalam pada itu di peringkat akar umbi UMNO, terutamanya di bahagian-bahagian haruslah memberi peluang kepada golongan muda agar UMNO di peringkat bawah dapat menghasilkan pelapis dan diberi peluang mengemudi parti.

Sejujurnya kita tidak mahu lagi mendengar frasa ‘calon boleh menang’ bila tiba pilihan raya tapi akhirnya calon yang sama dipilih oleh pucuk pimpinan.

Saya percaya UMNO masih menjadi pilihan rakyat dan orang muda, namun perubahan yang ekstrem pada batang tubuh UMNO perlu diadakan. Hidup UMNO!

BROTAR
Selangor