Pun begitu, realiti mencari pekerjaan tidak semudah seperti difikirkan, apatah lagi penawaran pekerjaan ketika ini mengambil kira pelbagai faktor termasuk keadaan ekonomi semasa, lambakan graduan mencari pekerjaan dan kebolehpasaran graduan.

Seringkali graduan berdepan halangan syarat-syarat tidak realistik apabila majikan meletakkan keutamaan pengalaman bekerja selain kelayakan akademik. Ini seolah-olah mahu menutup terus peluang graduan memperoleh pekerjaan.

Benar, memiliki pengalaman dalam bidang pekerjaan tertentu amat penting bagi melicinkan operasi syarikat agar tidak memberi beban kepada organisasi terbabit. Begitupun syarat ketat dikenakan menyukarkan graduan. Sememangnya mustahil untuk rata-rata mereka pada usia muda memiliki pengalaman bagi mengisi penawaran pekerjaan di pasaran.

Setiap orang memerlukan satu tempoh tertentu bagi memiliki serta menguasai segala bentuk pengalaman seperti dikehendaki kebanyakan majikan. Adalah tidak adil sekiranya pengalaman sering dijadikan sebagai syarat utama bagi setiap penawaran pekerjaan dibuat oleh pihak majikan.

Majikan yang baik seharusnya faham dengan keadaan graduan yang masih belum terdedah dengan banyak pengalaman. Majikan yang baik juga akan sentiasa menyediakan ruang dan peluang kepada graduan yang telah diterima bekerja untuk menimba segala bentuk pengalaman dengan menghantar mereka menjalani kursus atau proses latihan jangka pendek.

Majikan yang bijak pasti dapat berfikir di luar kotak dengan menganggap graduan yang bakal diambil bekerja itu dapat digilap potensi dan seterusnya menjadi aset atau pelaburan penting buat jangka masa panjang yang boleh membawa keuntungan dan kejayaan kepada syarikat.

Diyakini, sekiranya graduan yang masih muda dan bertenaga ini diberi segala ruang, peluang dan latihan sepatutnya, mereka dapat menjana lebih banyak produktiviti dan pulangan kepada organisasi itu sendiri.

Justeru, disarankan agar pihak majikan dapat mengetepikan syarat memiliki pengalaman sebagai ‘tiket’ utama dalam penawaran pekerjaan bagi memberi ruang dan peluang kepada graduan yang baharu hendak menjejakkan kaki mereka ke alam pekerjaan.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Universiti Sains Islam Malaysia