Untuk itu, pengetahuan dan ilmu menjadi semakin penting secara mendadak. Keadaan ini menyebabkan manusia berlumba-lumba mendapatkan ilmu dan pengetahuan bagi memenuhi kehendak semasa.

Dalam hal ini, sudah tiba masanya kerajaan dan Kementerian Pendidikan mengkaji semula keperluan kursus atau program yang terdapat di universiti-universiti di negara ini.

Rasanya sudah sekian lama kursus sedia ada di univerisiti di negara ini tidak dirombak atau diberikan nafas baharu.

Sejajar dengan perubahan dan kehendak dunia global, sudah pasti rakyat dan pelajar yang menuntut di universiti memerlukan ilmu dan pengetahuan baharu.

Jika kursus dianjurkan di universiti tidak berubah atau statik atau tidak diberikan nafas baharu, sudah pasti negara akan ketinggalan zaman dan tidak mampu memenuhi kehendak masa depan termasuk pasaran kerja.

Saya lontarkan cadangan ini kerana didapati ramai pelajar universiti setelah tamat pengajian tetapi apabila memasuki bidang pekerjaan, sektor yang diceburi tidak berkaitan langsung dengan kursus dipelajari.

Dengan kata lain, kursus dipelajari tidak dapat memenuhi kehendak pekerjaan. Jadi tidak ada gunanya belajar bertungkus-lumus dan memegang segengam ijazah, namun ia tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam sektor pekerjaan.

Kementerian Pendidikan sepatutnya menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi memikirkan hal tuju kursus yang dianjurkan di universiti-universiti.

Kursus yang dianjurkan seharusnya memenuhi kehendak masa depan, kehendak pekerjaan atau dapat mendatangkan pendapatan. Jika kursus yang ada gagal berbuat demikan, sudah pasti pengangguran kian bertambah. Akibatnya negara akan dilimpah dengan graduan universiti tanpa sebarang pekerjaan.

Memang benar kerajaan juga harus mempunyai pelan tindakan bagi mewujudkan bidang atau sektor pekerjaan yang sesuai dengan kursus disediakan. Janganlah memberi alasan bahawa graduan jangan mengharapkan pekerjaan makan gaji sebaliknya perlu berusaha sendiri. Itu alasan standard.

PROFESOR BERSARA

Perlis