Kita amat kesal kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) sanggup melanggar Perlembagaan Persekutuan semata-mata menurut kehendak sesuatu kaum. Tidakkah mereka terfikir bahawa Malaysia adalah negara berdaulat yang mempunyai identiti tersendiri. Identiti kita adalah untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Kerana itu, sewajarnya pihak-pihak yang berani melanggar Perlembagaan negara diberi amaran atau tindakan. Jika tidak, ramai lagi yang akan berani bertindak sesuka hati.

Rakyat menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang begitu tegas mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Amatlah kita berharap sultan dan pemimpin negara yang lain turut bertindak sedemikian apabila berlaku perlanggaran terhadap Perlembagaan negara.

Saya tertanya-tanya adakah kefahaman pemimpin kanan kerajaan di Selangor mengenai Perlembagaan negara terlalu cetek sehingga menyebabkan perkara ini berlaku?

Oleh itu, sewajarnya terdapat badan khusus diberi kuasa memantau pelanggaran Perlembagaan ini terutama penggunaan bahasa di negara kita. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) misalnya patut diberi kuasa. Dewan Rakyat wajar meluluskan kuasa tersebut. Sudah lebih 60 tahun negara kita merdeka, namun kuasa itu belum lagi diberikan.

Jika negara-negara lain seperti Thailand dan Indonesia begitu mempertahankan penggunaan tulisan dan bahasa masing-masing, mengapa negara kita tidak boleh berbuat demikian?

Di manakah kewibawaan pemimpin kita dalam menguatkuasakan Perlembagaan Persekutuan?

Sama-samalah kita berdoa agar perkara yang berlaku di bandar raya Shah Alam tidak berulang di tempat lain.

PENCINTA BAHASA
Kangar