Selain itu, pendedahan data oleh Unit HIV/AIDS, Kawalan Penyakit Berjangkit dari Pejabat Kesihatan Daerah Petaling di sebuah institusi pengajian tinggi juga sangat mengejutkan. Dilaporkan terdapat 15 kes HIV/AIDS berlaku di institusi terbabit pada 2017.

Islam tidak melihat angka sedikit itu sebagai perkara yang boleh diremehkan. Apatah lagi jika berlaku di menara gading. Hakikatnya, Islam amat menitikberatkan soal penjagaan maruah dan keturunan. Di sini pentingnya setiap individu Islam itu mempunyai didikan agama yang secukupnya agar mereka terhindar daripada perbuatan maksiat.

Yang pasti, nafsu yang ada pada setiap manusia itu akan mendorong ke arah kejahatan dan kehancuran. Disebabkan nafsu maka berlakulah hubungan luar nikah yang sekali gus menyebabkan terjadinya masalah pembuangan bayi. Sehingga kini masalah ini terus berlaku, seolah-olah tiada kesudahan.

Justeru, kita perlukan pendinding agar nafsu ini dapat ditundukkan dan sebaik-baik pendindingnya adalah didikan agama yang sempurna. Di sinilah peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa dengan sebaik-baiknya.

Biarpun sibuk dengan kerjaya, ibu bapa jangan sesekali melepaskan tanggungjawab dalam memberikan didikan agama yang baik kepada anak-anak masing-masing.

Ibu bapa wajib mengambil tanggungjawab ini. Kegagalan ibu bapa menyempurnakan tanggungjawab tersebut boleh mengakibatkan anak-anak mereka tergelincir apatah lagi jika melibatkan hubungan lelaki dan perempuan.

Bercakap tentang memberi didikan agama, ibu bapa yang tidak berkemampuan melaksanakan tanggungjawab ini perlu menghantar anak-anak belajar dengan ustaz atau ustazah bertauliah agar anak-anak ini mempunyai pengetahuan mengenai asas agama dengan lebih mendalam. Dengan adanya pengetahuan agama, anak-anak kan lebih tahu tentang halal dan haram.

Mereka akan lebih tahu ibadat-ibadat yang wajib ditunaikan seperti solat, puasa, zakat dan haji. Mereka juga akan lebih tahu perkara-perkara yang akan mendatangkan dosa sekiranya dilakukan. Yakinlah dengan memberikan didikan agama sahaja yang mampu menghindarkan mereka daripada melakukan perbuatan yang dimurkai oleh Allah SWT.

NUR AINUN NAJLA’ 
MOHD. YATIN

Universiti Sains Islam Malaysia