Sungguh memalukan bila orang tidak bertudung mahu menjual tudung, ada yang pakai tudung untuk berniaga tudung kemudian dibuka kembali bila perniagaan itu tidak dapat sambutan.

Ada pula menggunakan nama-nama tokoh Islam untuk jual produk dan guna hadis tertentu yang ‘diputar’ maknanya untuk mempromosikan produk kesihatan.

Tudung fesyen tidak menutup aurat, jubah sendat umpama berbogel, telekung mahal dan label halal ditampal sesuka hati pada semua jenis produk khususnya alat solek sedangkan tiada kajian keselamatan jangka panjang.

Saya harap pihak berwajib bertegas dan ambil tindakan perundangan terhadap golongan yang ‘menunggang agama’ ini kerana memberi persepsi buruk kepada kesucian Islam di mata orang bukan Islam.

Jika Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak mempunyai kuasa yang cukup untuk bertindak, ahli parlimen dan menteri-menteri berwajib perlu berikan kuasa secukupnya kepada Jakim supaya tidak tinggal ‘taring tumpul’ seperti Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tudung sudah masuk disko, jangan sampai ada bawa telekung masuk tandas atau akad nikah dalam pusat karaoke pula.

HAJI KAMAL ARIFIN

Pulau Pinang