Ia bermaksud kehidupan manusia yang sentiasa memelihara dan melakukan sesuatu yang boleh menghasilkan tindakan budaya.

Ia boleh dilihat sebagai akar kepada ketamadunan sesebuah komuniti dan masyarakat.

Dasawarsa ini, kemajuan teknologi yang semakin canggih mendorong sesebuah budaya tersebar lebih cepat dan meluas ke seluruh dunia.

Salah satu bentuk kebudayaan yang dihasilkan oleh penglibatan media ialah budaya popular atau lebih dikenali sebagai Pop Culture.

Istilah budaya ini dilandas oleh kepercayaan, amalan dan perkara-perkara yang dikongsikan dalam sesebuah komuniti masyarakat.

Ia merupakan komponen penting dalam masyarakat moden yang telah diintegrasikan ke dalam bidang seperti persembahan, filem, fesyen, kesenian, teknologi, reka bentuk, sukan, makanan dan hiburan.

Di Malaysia, budaya popular ini sering dikaitkan dengan gelombang Korea atau Hallyu dek kerana lambakan drama dan lagu Korea telah menarik minat ramai anak muda tempatan.

Fasa permulaan bagi gelombang Korea ini pada awalnya hanya meliputi negara Asia sahaja tetapi kini berkembang ke negara-negara lain.

Antara drama yang menjadi pemangkin kepada gelombang Korea ini antaranya What is Love all About? (1997), Winter Sonata (2002) dan Dae Jang Geum (2003) yang menjadi kegilaan rata-rata masyarakat negara ini.
 Dengan wujudnya media baharu seperti media sosial, Hallyu ini turut berevolusi dengan kehadiran platform seperti Youtube, Facebook dan Twitter.

Pengguna tidak lagi hanya menggunakan media tradisional untuk mendapatkan akses kepada program ini sekali gus menyebabkan penyebaran budaya itu menjadi lebih besar dan cepat.
 Namun begitu, kemasukan budaya luar ini mungkin akan memberi kesan ke atas masyarakat di negara ini terutamanya anak-anak muda.

Sebagai contoh pada 2015, beberapa remaja perempuan Melayu Islam telah dipeluk dan dicium artis K-Pop.

Rata-rata masyarakat telah menyalahkan remaja Melayu bertudung terbabit kerana merelakan diri mereka diperlakukan begitu hingga menjatuhkan maruah gadis bertudung dan kesucian agama Islam itu sendiri.
 Pada tahun 2017 pula, kematian seorang bintang K-Pop kumpulan Shinee iaitu Kim Jonghyun, telah menimbulkan polemik.

Peminat di Malaysia telah meratapi dan memberikan penghormatan terakhir dengan membawa lilin dan belon sebagai simbolik ke atas pemergian selebriti Korea terbabit. 
 Hal ini jelas menunjukkan masyarakat di Malaysia khususnya para remaja masih lagi kurang mendalami soal jati diri terhadap budaya yang mencerminkan kita sebagai rakyat Malaysia.

Sedangkan, Malaysia merupakan sebuah negara yang unik dengan kepelbagaian budaya yang cukup indah.

Justeru, kita seharusnya berbangga dengan apa yang kita ada serta haruslah bijak dalam mengaplikasikan keindahan budaya tersebut dalam kehidupan seharian.

NAZRA ALIFF NAZRI

Pelajar PhD Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)