Cabaran hebat masa kini memperlihatkan peranan guru dalam mendidik dan mendisiplinkan murid dipandang serong oleh segelintir ibu bapa. Lebih mendukacitakan, ada ibu bapa mahu mengheret guru ke mahkamah seperti mana berlaku ke atas Azizan Manap, atau Cikgu Azizan dari Sekolah Kebangsaan Taman Semarak Nilai, Negeri Sembilan.

Saban hari akhbar melaporkan terdapat pelbagai gejala sosial termasuk dadah melibatkan remaja berusia antara 14 dan 20 tahun. Perkara sebegini amat menakutkan kerana golongan itu sepatutnya menjadi tenaga penting ke arah pembangunan insan.

Seperti diketahui, beban tugas guru kini semakin banyak dan masalah gejala sosial dan disiplin juga menjadi tanggungjawab mereka. Untuk mengurangi bebanan mereka, perlu ada kerjasama erat antara pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Ibu bapa umpamanya boleh selalu berhubung dengan pihak sekolah bagi mengetahui masalah disiplin dan pembelajaran anak-anak, manakala peranan PIBG yang lebih aktif dan berkesan mampu mengatasi masalah disiplin di sekolah. Senario memperlihatkan hubungan longgar antara ibu bapa dan guru antara faktor menyumbang masalah disiplin murid.

Selain itu, masyarakat juga boleh berperanan dalam menangani permasalahan ini. Jangan biarkan masalah ini dibebani ibu bapa dan guru. Pelbagai aktiviti keagamaan dan program ibadah boleh dilakukan bagi membantu remaja yang terbabit dengan gejala sosial ini.

Masalah gejala sosial, keruntuhan akhlak dan jenayah dalam kalangan generasi muda hanya boleh diatasi melalui didikan agama dan pendedahan sewajarnya oleh ibu bapa. Justeru, pembacaan dan penghayatan al-Quran sebagai panduan hidup perlu diamalkan di rumah sedari anak-anak kecil bagi menyemai ketakwaan mereka kepada Allah.

Secara ilmiah, al-Quran mengandungi pelbagai ilmu pengetahuan, mencakupi peraturan hidup, hukum, politik, ekonomi, falsafah, teknologi, pendidikan dan sebagainya. Membaca, memahami isi kandungan dan bertadarus al-Quran dapat mendidik hati dan jiwa ke arah ketenangan.

Dalam hal itu, peranan ibu bapa sangat penting dalam menerapkan nilai-nilai keagamaan, kasih sayang dan pengetahuan tentang kehidupan. Ia adalah langkah utama yang perlu dilaksanakan dalam institusi kekeluargaan.

Justeru, disarankan bagi pasangan yang ingin berkahwin agar diwajibkan mengikuti kursus pendidikan rumah tangga khususnya dalam mencorakkan kehidupan anak-anak berteraskan pendidikan agama.

Pendidikan agama mesti dilaksanakan ibu bapa di peringkat awal usia anak-anak bagi membolehkan iman mereka dibentuk dan diperkukuhkan menjadi insan bertakwa. Jika perkara ini tidak dilakukan, anak-anak akan mudah terjebak dalam kancah gejala sosial dan jenayah yang akhirnya menyusahkan ibu bapa.

Pendidikan agama mestilah menjadi teras dan benteng kepada pembentukan sesebuah keluarga, masyarakat dan negara. Tanpa pendidikan agama, anak-anak tidak mempunyai benteng yang kukuh bagi menghadapi keruntuhan moral di luar yang semakin berleluasa.

Pengamatan saya, amat kurang ceramah di masjid menekankan hal-hal berkaitan akidah, ibadat, akhlak dan perkara berkaitan kekeluargaan yang menumpukan golongan remaja. Tazkirah dan ceramah sepatutnya menekankan lebih kepada perkara ini, iaitu berkaitan isu sosial anak dan cara mengatasinya dengan kerjasama masyarakat.

Kesimpulannya, pendidikan seimbang amat penting sebagai persediaan melahirkan modal insan berjaya di dunia dan akhirat.

DR. AMINUDIN MANSOR

Universiti Kebangsaan Malaysia