Oleh yang demikian, kesinambungan ekonomi dan belia adalah satu bentuk pelaburan jangka panjang.

Maka tidak hairanlah jika ditinjau bahawa kerajaan Malaysia telah menyumbang suntikan modal yang banyak khusus untuk pembangunan modal insan bagi usahawan muda.

Kewujudan semula Kementerian Pembangunan Usahawan juga berperanan dalam perancangan yang lebih mampan bagi membina aset baharu negara ini pada masa hadapan. Perancangan yang meliputi aspek latihan keusahawanan, pelaburan dan penyumbangan dana telah diberikan oleh pihak kerajaan supaya kesedaran tentang keusahawanan akan timbul dalam kalangan lapisan masyarakat belia.

Peranan Kementerian Pembangunan Usahawan dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan akan menambah lagi ketepatan hasrat untuk mewujudkan usahawan daripada golongan belia.

Kewujudan organisasi berlatarbelakangkan keusahawanan di peringkat universiti telah mempercepatkan pertumbuhan idea dan spiritual keusahawanan dalam kalangan mahasiswa.

Sokongan yang ditunjukkan ini adalah satu momentum tentang pentingnya generasi belia bagi mengharungi transformasi ekonomi pada masa akan datang.

Majlis dialog bersama usahawan muda yang berlansung baru-baru ini telah membuktikan kesungguhan kedua-dua kementerian dalam melahirkan usahawan belia yang berdaya saing.

Banyak permasalahan dan cadangan yang dizahirkan bukan sahaja daripada golongan belia, malah golongan yang bukan lagi belia tetapi prihatin terhadap penglibatan dan representasi golongan belia dalam perniagaan di negara ini.

Menteri Pembangunan Usahawan menyambut baik penglibatan anak-anak muda dalam bidang ini.

Penekanan beliau dalam majlis dialog itu ialah usaha membudayakan keusahawanan dalam jati diri belia di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan pula banyak menekankan representasi golongan belia dalam perniagaan seperti penglibatan menjadi ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan dan koperasi.

Ketika majlis dialog ini berlansung, penulis menekankan isu representasi dan penglibatan belia dalam sektor koperasi negara. Menurut statistik, penglibatan anak muda dalam koperasi sebagai ahli biasa masih lagi rendah.

Selain itu, anak muda juga perlu dilibatkan sebagai ahli lembaga pengarah dalan agensi berkaitan sektor koperasi seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Maktab Koperasi Malaysia yang merupakan badan kawal selia koperasi dan badan yang menganjur serta memantau latihan untuk gerakan koperasi.

Jika kita mahukan penglibatan lebih ramai anak muda dalam bidang ini, maka kita perlu melibatkan mereka secara serius dan tersusun dalam badan pembuat dasar.

MOHAMMAD 
NOORIZZUDDIN NOOH

Ahli Lembaga Pengarah 
Maktab Koperasi Malaysia