Air yang menjadi keperluan asas paling utama dalam kehidupan harian bukan sahaja dijadikan mainan politik sesetengah pihak malah tiada perancangan jangka panjang untuk memenuhi keperluan penduduk Selangor yang terus meningkat saban tahun.

Saya ingin cadangkan semua penduduk di Selangor membeli dan memasang tangki air besar melebihi 1,000 liter bagi rumah teres atau tangki lebih 50,000 liter bagi rumah pangsapuri serta rumah kedai sebagai tambahan kepada tangki air sedia ada.

Melihat kepada tahap ketidakcekapan pengurusan dan kekerapan masalah air di Selangor sekarang, rakyat negeri itu tidak boleh lagi mengharapkan baldi kecil atau hanya membeli bekas air ‘cekik darah’ ketika bekalan putus atau terganggu.

Pilih penyelesaian kekal dengan membeli tangki besar yang boleh menampung keperluan air isi rumah sehingga satu minggu dan bertawakal bekalan air tidak putus melebihi tujuh hari.

KAMARUL HISHAM

Petaling Jaya