Proses transformasi ini membawa kepada pertumbuhan ekonomi lebih positif dari setahun ke setahun yang disokong oleh pelbagai aktiviti ekonomi yang sentiasa bergerak aktif.

Kita tidak boleh menafikan sama sekali bahawa kemajuan demi kemajuan yang dicapai itu adalah hasil usaha bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Malah, kemajuan Johor jelas memberi gambaran kepada rakyat tentang keberkesanan tampuk kepemimpinan beliau selama lima tahun sebelum ini.

Bajet Johor 2018 adalah sumbangan terakhir yang penuh dedikasi oleh Mohamed Khaled. Namun, selepas pertukaran kerajaan pada Mei lalu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah mengambil alih tugas untuk mentadbir Johor.

Jadi pada esok, buat julung-julung kalinya, kerajaan PH membentangkan Belanjawan Johor 2019 di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian. Tentunya rakyat Johor ternanti-nanti apakah yang bakal dibentang beliau untuk faedah mereka.

Belanjawan ini diharapkan dapat memberi fokus kepada usaha meningkatkan lagi prestasi ekonomi dan pembangunan Johor serta menambah baik kehidupan penduduk secara inklusif. Sebagai anak jati Johor, saya mempunyai beberapa harapan terhadap belanjawan berkenaan.

Pertama, diharapkan belanjawan itu dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak muda khususnya graduan yang baru menamatkan pengajian.

Kedua, menjelang 2019 pastinya harga rumah semakin tinggi mengakibatkan kekangan kepada penduduk untuk memiliki kediaman sendiri. Dalam hal ini, kerajaan negeri perlu mengambil langkah progresif bagi memastikan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah berpeluang memiliki rumah.

Ketiga, harapan saya belanjawan terbabit dapat menyediakan sedikit peruntukan dalam memperkasakan golongan wanita luar bandar. Golongan itu harus diberi peluang untuk menceburi bidang profesional dan perniagaan agar dapat meraih pendapatan tambahan untuk membantu keluarga.

Keempat, belanjawan terbabit harus memberi manfaat kepada masyarakat kurang bernasib baik seperti gelandangan, fakir dan orang kurang upaya (OKU).

Harapan terakhir saya, kerajaan PH dapat menyediakan inisiatif dan peruntukan yang lebih banyak kepada sektor pendidikan seperti penyediaan biasiswa bagi membolehkan anak muda mendapat pelajaran yang lebih berkualiti.

Jadi semua ini adalah harapan saya sebagai anak jati Johor bagi melihat setiap lapisan masyarakat diberi perhatian dan penekanan selaras dengan pembangunan negeri yang semakin maju.

DHIA HANI

Persatuan Pemikir Muda Johor