Beberapa hari lalu pula kecoh seorang lagi atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin yang ‘menyekolahkan’ Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam media sosial dengan mempersoalkan tindakan Menteri Belia dan Sukan itu menamatkan kontrak jurulatihnya.

Syed Saddiq dikatakan kesal dengan tindakan atlet tersebut yang menggunakan media sosial sebagai medium luahan perasaan.

Berbeza dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengambil inisiatif berjumpa sendiri dengan Muhammad Irfan untuk mendengar permasalahan sebenar yang dihadapinya.

Saya yakin dan pasti, TMJ melakukannya dengan ikhlas kerana baginda pernah dan ada pengalaman tentang selok-belok urus tadbir sukan. Jadi sudah tentu TMJ sedar dan faham bahawa apa sahaja jenis sukan memerlukan sumber kewangan yang besar dan kukuh bagi memastikan segala proses berjalan lancar.

Inilah contoh seorang pemimpin yang bijak dan berwibawa kerana berani tampil ke hadapan untuk mendengar sendiri segala rungutan tanpa mengira darjat mahupun pangkat. Sepatutnya apabila orang bawahan mempunyai masalah, bukan hanya sekadar berbalas kenyataan tetapi perlu mendekati mereka dan mendengar sendiri segala masalah yang sedang dihadapinya.

Apa salahnya Syed Saddiq sebagai menteri turun pandang berjumpa dan meluangkan masa dengan para atlet negara bagi merungkai segala permasalahan yang timbul. Jadi inilah masanya untuk beliau menjalankan tugas yang telah diamanahkan, kurangkan berpolitik dan lebihkan fokus kepada industri sukan negara.

Beliau juga perlu adil dan bijak untuk menguruskan belanjawan melibatkan sukan elektronik dengan sukan biasa. Ini penting bagi memastikan perbelanjaan atlet-atlet negara sentiasa mencukupi dari semasa ke semasa.

Jadi jangan kerana ego dan isu yang kecil seperti ini, kita kehilangan aset-aset besar negara. Diharapkan masalah ini dapat ditangani dengan sebaiknya bagi memastikan kebajikan atlet terus dijaga rapi. Akhir sekali, saya ingin nasihatkan Syed Saddiq agar belajar daripada TMJ.

DHIA HANI

Persatuan Pemikir Muda Johor