Kita sebagai umat Islam perlulah cakna terhadap golongan OKU pendengaran ini. Allah SWT telah berfirman: Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik baiknya. (At Tin: 4). Ini menunjukkan bukti kekuasaan Allah dalam menjadikan setiap makhluk.

Program ini secara tidak langsung menepis sikap segelintir masyarakat yang sering menjadikan kecacatan OKU sebagai penghalang keupayaan golongan istimewa ini menyertai aktiviti kemasyarakatan dengan lebih berkesan.

Oleh hal demikian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) amat menyambut baik akan kehadiran Kursus Dakwah Tanpa Suara (KDTS) yang berjalan sepanjang satu semester sahaja. Kursus ini diperkenal bagi membantu mereka mempelajari bacaan ayat al-Quran khususnya.

Selain itu, kursus ini dianjurkan secara percuma untuk menggalakkan mahasiswa USIM untuk mempelajarinya. Kursus ini mempunyai dua tahap, yang mana Tahap I merupakan peringkat asas pendedahan terhadap dunia golongan cacat pendengaran (budaya dan bahasa), latihan asas kaedah pengajaran menghafaz al-Quran bagi OKU cacat pendengaran melalui kaedah Tahfiz Akhyar dan Penulis Wahyu, dan pengajaran asas membaca al-Quran menggunakan kod tangan berbantukan butang nombor dan warna melalui Kaedah Fakih. Manakala Tahap II banyak memfokuskan kemahiran berinteraksi bersama OKU cacat pendengaran secara latih tubi dan tugasan.

USIM merupakan universiti yang diberi tanggungjawab menjalankan penyelidikan kepada OKU melalui kluster penyelidikan Ibnu Ummi Maktum antaranya kursus aplikasi braile, modul sukarelawan dakwah OKU Sahabat Faqeh, Kumpulan Nasyid Tanpa Suara Al-Ishar.

MAIZATUL ATIKAH DIN