LANGKAH penswastaan adalah satu kaedah bijak yang diambil oleh kerajaan bertujuan untuk meningkatkan kecekapan selain mengelakkan pembaziran. Paling penting melalui pendekatan ini mutu perkhidmatan akan dapat dipertingkatkan lagi khususnya berkaitan kesejahteraan rakyat.

Sehingga hari ini terdapat banyak bidang telah diserahkan kepada pihak swasta antaranya kerja-kerja yang melibatkan bidang pembersihan dan pelupusan sampah.

Di Kedah, bidang ini juga telah diserahkan kepada sebuah syarikat pengendali sampah swasta iaitu syarikat E-Idaman Sdn. Bhd. Hasilnya, senario positif dapat dilihat dari semasa ke semasa.

Semua aspek berjalan lancar walaupun pada peringkat awalnya agak kurang memuaskan dan seperti ada masalah. Cuma, kadang-kadang tersentuh hati saya melihat pekerja-pekerjanya melakukan tugas-tugas pembersihan di sekitar perumahan dan di pinggir jalan raya.

Walaupun bayaran yang diterima tidak sebanyak mana, mereka berkhidmat dengan jayanya dan cemerlang. Terasa sebak bila terserempak mereka sedang berusaha membersihkan longkang dan parit serta bahu jalan dengan tekun dan teliti tanpa mengira panas serta segala rupa kekotoran.

Mereka masuk ke dalam longkang mencabut rumput dan tumbuhan liar. Mereka melakukan yang terbaik demi mencari rezeki halal. Sampah dan bahan buangan dikutip mengikut jadual. Walaupun dengan gaji yang kecil mereka tetap memberikan perkhidmatan terbaik. Rumput di sepanjang jalan sentiasa dipotong pendek dan kawasan persekitaran sentiasa dibersihkan.

Kini sudah sampailah masanya syarikat berkenaan melakukan beberapa penambahbaikan. Tentulah para pekerja mereka akan lebih berterima kasih. Yang penting keselamatan mereka harus dilindungi.

Keselamatan mereka harus diberi perhatian walaupun setakat ini belum pernah terjadi kemalangan. Kadang-kadang peringatan perlu juga diberi perhatian, Sedarlah bahawa ‘malang tidak berbau’ dan ‘mencegah lebih baik dari mengubat’.

Pihak syarikat E-Idaman sebaik-baiknya menyediakan satu skim insurans untuk para pekerja mereka. Apa akan terjadi sekiranya mendapat kemalangan ketika bertugas? Pekerja yang membersihkan sampah sarap dan rumput di tepi jalan berisiko untuk terkena gigitan binatang berbisa atau dilanggar dengan kenderaan. Kemungkinan-kemungkinan ini perlu diberi perhatian.

Pekerja pelupusan sisa pepejal dan sampah pula dilihat hanya berdiri di sisi lori pengangkut tanpa apa-apa pengadang. Mereka hanya berpaut di besi pemegang yang terlekat di dinding lori.

Bayangkan jika ketika lori sedang bergerak ada yang terkena serangan jantung atau darah tinggi? Apalah salahnya jika lori itu diubahsuai dengan diletakkan pengadang yang boleh menghalang mereka jatuh atau menyediakan tempat duduk khas untuk mereka.

Pihak Majlis Daerah, Kerajaan Tempatan dan juga Syarikat E-Idaman perlu peka dengan hal-hal begini selain memikirkan keuntungan syarikat sahaja. Langkah-langkah keselamatan yang lebih positif harus diambil. Sesungguhnya malang tidak berbau.

ILHAM SYAKIMA,

Yan, Kedah