Sudah pasti pengumuman itu telah memberi semangat baharu kepada veteran ATM terutama mereka tidak berpencen yang menerima pelbagai insentif termasuk Bantuan Bakti Negara (BBN) sebanyak RM1,200 seorang setiap tahun.

Bagaimanapun, saya berharap kerajaan tidak melupakan veteran berpencen terutama yang bersara pada era 1970-an, 1980-an dan 1990-an yang kadar pencen mereka amat rendah.

Veteran berpencen ialah orang yang sanggup berjuang mempertahankan bumi tercinta biarpun gaji diterima ketika berkhidmat dengan ATM tidak menjadikan mereka kaya dan sekadar mampu untuk menyara keluarga. Mereka juga terpaksa mengorbankan banyak perkara demi kesejahteraan dan keamanan negara.

Ini berbeza dengan veteran tidak berpencen yang saya dapati kebanyakan mereka sejak awal lagi tidak berminat untuk berkhidmat dalam ATM. Mereka memohon menamatkan perkhidmatan ketika khidmat mereka masih diperlukan dengan alasan mendapat tawaran lumayan dari luar atau mahu mengerjakan ladang peninggalan orang tua.

Terdapat juga segelintir veteran tidak berpencen yang ditamatkan perkhidmatan disebabkan masalah disiplin.

Sewajarnya veteran tidak berpencen telah berjaya dalam kehidupan mereka berdasarkan faktor usia yang masih muda ketika berhenti serta telah mendapat wang ganjaran lebih banyak untuk dijadikan modal berniaga semasa mereka menamatkan perkhidmatan dahulu.

Mereka sudah pasti telah mendapat kerjaya baharu dengan gaji lebih tinggi berbanding rakan-rakan mereka yang meneruskan perkhidmatan dalam ATM sehingga bersara.

Veteran berpencen yang bersara pada usia 40-an hanya menerima pencen bulanan separuh daripada gaji terakhir dan mendapat hanya sebahagian wang ganjaran.

Pada ketika itu, anak-anak masih bersekolah dan keadaan tersebut memerlukan mereka menggunakan wang pencen dan ganjaran untuk menampung persekolahan anak-anak selain belanja sara hidup harian.

Atas faktor usia, peluang mereka mendapatkan pekerjaan selepas bersara agak sukar berikutan saingan dengan individu lebih muda.

Insentif kepada veteran tidak berpencen yang diumumkan kerajaan baru-baru ini boleh memberi kesan buruk pada jangka masa panjang kerana akan menyebabkan anggota ATM cenderung memohon berhenti awal disebabkan mereka akan mendapat layanan sama dengan rakan-rakan yang bersara.

Sehubungan itu, saya menyeru pihak kerajaan agar menambah baik insentif kepada veteran berpencen supaya pengorbanan mereka kepada negara dapat dihargai dengan sewajarnya.

Tidak salah kerajaan memberi bantuan kepada veteran tidak berpencen tetapi keutamaan sebenar adalah veteran berpencen bagi mengelak anggota ATM yang sedang berkhidmat memohon untuk berhenti awal kerana tidak banyak keistimewaan diberikan kepada mereka yang bersara.

 

AHLI PVATM BERSARA

Kuala Langat, Selangor