Saya sendiri telah dua tiga kali bertukar tempat kerja kerana tidak tahan diarah bekerja enam hari seminggu dan tempoh jam bekerja pula terlalu panjang iaitu lebih 10 hingga 12 jam sehari jika ingin mendapatkan gaji lebih.

Bagi mereka yang bujang, tidak mengapa jika bekerja enam hari seminggu tapi bagi mereka yang berkeluarga dan ada anak-anak kecil, tentu ia agak melesukan minda, fizikal dan menguruskan keluarga.

Berdasarkan pemerhatian di banyak laman pekerjaan dalam media sosial, banyak syarikat swasta termasuk di sektor perhotelan,kilang dan peruncitan awal-awal lagi meletakkan syarat bekerja enam hari seminggu dan ada pula yang mempromosi gaji tinggi tapi jam kerjanya sangat melampau sehingga 12 hingga 14 jam sehari.

Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia perlu memantau perkara ini dan perlu menyediakan saluran aduan dan tubuh pasukan khas untuk menyiasat setiap aduan pekerja jika berlaku ketidakadilan di tempat mereka bekerja. Kerajaan perlu menghantar petugas untuk siasat aduan mereka walaupun pekerja terbabit menghantar surat layang atau tidak mendedahkan identiti sebenar mereka takut diketahui atau diambil tindakan pemecatan oleh majikan mereka.

Semoga kerajaan Pakatan Harapan (PH) lebih agresif dalam membela nasib pekerja swasta yang teraniaya dalam usaha mereka mencari rezeki.

SAZMAN ARIFF

Shah Alam