Sememangnya golongan OKU di negara ini kurang mendapat perhatian sewajarnya.

Program-program terancang yang dianjurkan pelbagai pihak sama ada kerajaan mahu pun swasta atau NGO seringkali memberi perhatian kepada OKU yang cacat fizikal sahaja.

Tidak banyak program yang dirancang untuk OKU yang cacat akal seperti autism, down syndrome, ADHD, lembam, hiperaktif dan seumpamanya.

Kalau pun ada sekolah-sekolah pendidikan khas, ia terhenti setakat pendidikan menengah.

Akibatnya golongan ini yang bermula daripada alam kanak-kanak sehingga remaja tidak berpeluang mendapat latihan ikhtiar hidup sewajarnya, sekurang-kurangnya untuk berdikari menyara hidup sendiri.

Golongan OKU cacat akal ini mempunyai pelbagai tahap kecacatan. Ramai juga yang mampu mengurus diri sendiri dan mengikuti peraturan dan arahan yang mudah.

Namun, tidak banyak, atau tidak diketahui, sama ada terdapat program latihan yang boleh diikuti oleh mereka selepas menamatkan pengajian sekolah menengah.

Hasilnya ramai remaja OKU cacat akal yang membesar menjadi dewasa dan tidak melakukan apa-apa yang produktif.

Di luar negara, khususnya di negara-negara maju, banyak latihan atau program pendidikan yang disediakan untuk OKU cacat akal sehinggalah ke peringkat menyambung pelajaran ke universiti.

Salah satu pusat pengajian tinggi yang menawarkan pengajian untuk golongan ini ialah University of South Alabama yang menawarkan program Passage USA iaitu Preparing All Students Socially and Academically for Gainful Employment, yang memberi fokus kepada mereka yang mempunyai kecacatan intelek (intellectual disability).

Hasilnya ramai golongan OKU cacat akal di luar negara mampu menjalani kehidupan yang lebih bermakna iaitu bekerja, berkahwin dan membina keluarga seadanya.

Alangkah baiknya jika negara kita mempunyai program terancang yang inklusif untuk semua golongan OKU, tanpa mengira bentuk kecacatan mereka sama ada fizikal atau akal.

Janganlah ‘disemakkan’ lagi kehidupan mereka yang telah sedia mencabar dalam dunia manusia normal dengan cadangan-cadangan aneh seperti berkongsi tandas dengan golongan LGBT dan lain-lain.

Cik Dah

USJ