Pendidikan adalah asas pembangunan dan kemajuan sesebuah negara. Sejarah telah membuktikan bahawa runtuhnya sesebuah tamadun adalah disebabkan kelalaian pemimpin yang tidak memperkukuhkan generasi akan datang dengan mutu pendidikan yang berkualiti.

Generasi muda seolah-olah dibentuk sebagai pengikut setia pemimpin dan bukan sebagai pengikat antara pemimpin dan rakyat yang dikuasai dengan ilmu. Sebab itulah portfolio pendidikan ini sering mendapat perhatian masyarakat di mana-mana negara.

Dalam kita mengalu-alukan kehadiran beliau, harapan warga pendidik juga agak tinggi. Bebanan guru yang melampau telah membawa keluar guru-guru daripada ‘core business’ mereka untuk mengajar di dalam kelas kepada membuat kerja-kerja perkeranian. Terlalu banyak fail yang perlu disiapkan oleh mereka.

Pengenalan kepada pelbagai dasar-dasar baharu juga telah menjadikan guru menghabiskan lebih banyak masa di hadapan komputer berbanding di hadapan murid.

Semua kerja perlu disiapkan dalam masa singkat. Tiada alasan boleh diterima. Walau apa jua keadaan atau tekanan, guru tetap menyiapkan semua tugasan atas dasar ‘saya yang menurut perintah’.

Sedihnya, tidak siapa yang melihat tekanan dihadapi oleh seorang guru dalam mengejar masa menyiapkan segala kerja tersebut.

Untuk rekod, guru perlu membuat persediaan sebelum masuk ke kelas, masuk ke kelas perlu mengambil peranan ahli magis menggunakan pelbagai kaedah untuk menarik minat murid, mendidik anak muridnya, waktu lapang menanda buku, menyiapkan fail-fail, selepas sekolah menghadiri pelbagai mesyuarat, pulang ke rumah dengan begitu penat.

Namun, tetap pulang membawa kerja yang tak siap, di rumah bertukar peranan sebagai ayah dan ibu, menjaga dan membantu keluarga, membantu anak siapkan kerja rumah.

Saya tidak pernah memberikan alasan untuk tidak menjalankan tugas saya. Saya hanya ingin membawa mesej, meluahkan isi hati guru yang terpendam sekian lama agar pimpinan baharu Menteri Pendidikan akan prihatin terhadap nasib guru-guru sepertimana yang dijanjikan dalam manifesto.

CIKGU SIVA @ CVA

Bandar Utama