Pengumuman mengejutkan ini telah mengecewakan rakyat, kerana ia bertentangan dengan janji Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini bahawa tiada cukai baharu akan diperkenalkan pada tahun ini. Selain daripada cukai minuman bergula yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng juga mencadangkan pelaksanaan levi pelepasan selepas Hari Raya Aidiladha pada Ogos ini. Nampaknya, pusingan-U sudah menjadi amalan kerajaan PH.

Dalam pada itu, ketika pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2018) 2019 dalam Dewan Rakyat baru-baru ini, kerajaan telah memohon tambahan RM4.133 bilion bagi perbelanjaan pengurusan dan RM15.49 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, sekali gus menjadikan Belanjawan 2019 yang paling besar dalam sejarah Malaysia. Namun tambahan perbelanjaan tersebut nampaknya masih tidak meringankan beban rakyat.

Pengumuman Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar baru-baru ini bahawa sebanyak enam negeri telah bersetuju meningkatkan tarif air dan dua lagi negeri akan bersetuju tidak lama lagi, bakal meningkatkan lagi kos sara hidup rakyat, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).

Mungkin kerajaan PH beranggapan kenaikan tarif ini tidak terlalu banyak, tetapi bagi keluarga B40, jumlah wang sebanyak itu cukup untuk memberi makan seluruh keluarga.

Cukai minuman bergula pula dikatakan akan dikenakan pada kadar 40 sen ke atas mana-mana minuman tanpa alkohol yang mengandungi gula lebih lima gram per 100 mililiter; serta jus buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi gula melebihi 12 gram per 100 mililiter.

Rakyat juga semakin terbeban apabila Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi menjelaskan levi pelepasan akan dikenakan pada kadar RM20 setiap penumpang yang menuju ke negara ASEAN, sementara penumpang ke negara lain akan dikenakan RM40.

NICOLE WONG SIAW TING

Ketua Pemuda MCA