Fokus terlalu banyak diberi kepada kecantikan luaran berbanding dalaman. Peralihan daripada pakaian tradisi Melayu yang sopan seperti baju kurung kepada pilihan lebih moden dan bergaya semakin menghakis ciri-ciri wanita Muslimah khususnya menutup aurat seperti digariskan oleh Islam.

Tidak dinafikan menjadi lumrah setiap wanita suka terhadap kecantikan dan perhiasan. Allah SWT juga menyukai kecantikan kerana sifat-Nya sendiri itu adalah Maha Cantik. Pakaian adalah satu limpah kurnia-Nya yang sangat besar dan perlu disyukuri oleh setiap hamba-Nya.

Seperti yang kita ketahui juga, Islam adalah agama yang indah dan tidak pernah sesekali melarang umatnya berfesyen, bahkan disuruh berhias diri dengan memakai pakaian cantik dan selesa asalkan menutup aurat dan bukan daripada jenis kain diharamkan.

Walaupun diberi kebebasan, tidak bermakna umat Islam boleh memakai apa jua pakaian sesuka hati mereka. Maksud aurat ialah sesuatu yang mengaibkan atau lebih untuk difahami ialah bahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup dan dilindungi daripada pandangan bukan mahram atau ajnabi.

Ramai yang mengetahui tetapi mereka mengambil remeh akan hal ini. Maka, tidak hairanlah sekarang ada yang sanggup berbelanja besar hanya kerana untuk kelihatan cantik dan bergaya.

Namun, sedarkah kita sejauh mana ‘harga’ pakaian tersebut benar-benar melindungi tubuh badan kita? Sejauh manakah reka bentuk yang menarik itu mengikut kehendak Ilahi?

Sebelum melangkah keluar dari rumah atau suatu tempat, lihatlah terlebih dahulu sama ada pakaian yang kita pakai akan mencerminkan identiti yang baik ataupun sebaliknya.

Sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai Nabi katakanlah (suruhlah) isteri-isteri dan anak-anak perempuanmu serta wanita-wanita yang beriman, supaya mereka melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik), maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” - (Surah Al-Ahzab ayat 59)

Kesimpulannya, setiap apa yang diperintahkan oleh Allah itu bukanlah untuk membebankan hambaNya sebaliknya bagi menjaga dan memelihara yang mana bersesuaian dengan kemampuan manusia.

Sebagai seorang Muslim yang beriman, kita hendaklah mengikut dan melaksanakannya dengan cara yang terbaik.

NUR SURAYYA WAFA’ 
MOHD. ZUKARI

Nilai, Negeri Sembilan