Atas asas itu juga bahasa Melayu telah dijadikan subjek utama dalam sistem pendidikan di negara ini baik di peringkat sekolah rendah mahupun menengah. Malah menjadi subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dengan kata lain mereka yang mahu berkhidmat dalam sektor awam wajib lulus subjek bahasa Melayu di peringkat SPM.

Sememangnya tidak boleh dinafikan akan kepentingan bahasa Melayu dalam kehidupan harian rakyat Malaysia terutama sebagai agen perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum. Oleh itu, tindakan melonggarkan syarat bahasa Melayu oleh Kementerian Kesihatan terhadap pelantikan Pegawai Perubatan Gred UD41 kontrak wajar disemak semula.

Selama ini pun setiap pegawai serta kakitangan perkhidmatan awam di semua jabatan termasuk di hospital sudah lama menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ketika berurusan dengan rakyat. Borang-borang yang perlu diisi pelanggan juga ditulis dalam bahasa Melayu.

Justeru, Kementerian Kesihatan tidak mempunyai alasan munasabah untuk mengambil langkah sedemikian walaupun syarat tersebut hanya dikenakan kepada graduan perubatan yang dilantik secara kontrak. Mereka yang mahu berkhidmat dengan kerajaan sama ada kontrak atau tetap mahupun sementara wajib lulus subjek Bahasa Melayu dalam SPM.

Semua pihak harus sedar, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi di setiap kementerian serta jabatan kerajaan dan peraturan ini perlu dipatuhi. Bahkan tidak boleh dikompromi. Selama ini pun tidak pula kita berhadapan dengan masalah apabila bahasa Melayu digunakan di kementerian dan jabatan kerajaan.

Malahan apa yang boleh dilihat bahasa Melayu semakin berkembang hingga ke peringkat menjadi bahasa ilmu tinggi di peringkat universiti. Sehubungan itu, cadangan tersebut wajar dibatalkan serta merta.

Saya juga ingin menimbulkan satu persoalan, bagaimana Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) boleh meluluskan permintaan Kementerian Kesihatan itu walaupun syarat tersebut hanya terpakai untuk pegawai perubatan bertaraf kontrak.

Mustahil JPA tidak mengetahui kedudukan syarat wajib lulus subjek Bahasa Melayu untuk proses lantikan pegawai serta kakitangan awam.

Dalam isu ini saya juga sangat bersetuju dengan pandangan Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong yang menyatakan bahawa tindakan JPA itu boleh menyebabkan kementerian lain turut sama meminta kelonggaran dan akhirnya nilai bahasa Melayu akan terus dipandang rendah.

Bayangkan selepas ini terdapat kementerian-kementerian lain mendesak JPA memberikan kelonggaran serupa. JPA mungkin terpaksa tunduk dengan desakan itu selepas kelonggaran diberikan kepada Kementerian Kesihatan.

Agak-agak apa yang akan berlaku? Silap-silap ada pula pihak yang mencadangkan syarat wajib lulus Bahasa Melayu dalam peperiksaan SPM untuk lantikan pegawai serta kakitangan awam secara tetap perlu dihapuskan. Sekiranya ini yang berlaku bahasa Melayu akan terus terpinggir dibuminya sendiri.

Mungkin isu ini dilihat remeh oleh sesetengah pihak namun hakikatnya segala yang berkaitan dengan soal bahasa amat penting dan wajib diperjuangkan meskipun terpaksa berhadapan dengan tentangan pihak tertentu.

Cuba kita lihat bagaimana negara-negara maju dan kuasa besar seperti China, Rusia, Jepun, Jerman, Perancis dan Korea Selatan amat memelihara bahasa ibunda mereka. Tidak pula kita melihat negara-negara berkenaan mundur disebabkan isu bahasa.

Yang pasti, bahasa ibunda negara-negara tersebut berkembang hingga ke peringkat menjadi bahawa teknologi tinggi. Oleh itu, adalah amat diharapkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini, pihak jemaah Menteri dapat membuat satu keputusan yang akhirnya boleh melegakan majoriti rakyat negara ini.

PAHLAWAN SIMAT

Johol