Ramai kawan-kawan memberi maklum balas sangat positif. Mereka menceritakan bagaimana si polan kembali kepada kehidupan asal dan meluangkan masa dengan anak-anak. Tiada lagi si polan ini meminta duit makan dan duit belanja dek kerana wang gaji sempat dibawa pulang untuk anak bini.

Keruntuhan institusi kekeluargaan yang disebabkan oleh gejala judi haram ini amat teruk sekali dan hari ini mereka yang terlibat sama dengan ketagihan ini harus berterima kasih kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang mempunyai kesungguhan dan iltizam untuk menghapuskan kegiatan terbabit.

Ramai yang melontarkan pandangan negatif apabila saya berkongsi kejayaan menutup premis judi haram ini. Sepatutnya, kita memberikan sokongan moral kepada pihak berkuasa agar kegiatan ini dapat dihapuskan secara keseluruhan. Polis menunggu sahaja maklumat daripada orang ramai sekiranya terdapat premis judi haram itu dibuka semula.

Memang benar, ada premis judi haram ini tidak disewakan kepada pihak lain dek mengharapkan operasi polis bersifat sementara, namun apa yang saya dengar, kali ini pihak polis bukan hanya bersikap acah-acah.

Cabaran pertama untuk membasmi judi haram sudah berjaya. Hari ini masyarakat menunggu berapa lama ianya akan bertahan. Polis dan semua agensi yang mempunyai kuasa harus sama-sama memastikan premis itu kekal ditutup.

DATUK MOHD. RAZLAN MUHAMMAD RAFII

Ketua Pemuda Barisan Nasional Wilayah Persekutuan