Bukan itu sahaja, rakyat juga semestinya mengharapkan inisiatif daripada kerajaan sebagai usaha untuk mengurangkan beban hidup yang semakin meningkat.

Jadi salah satu aspek yang ingin saya berikan perhatian dalam Belanjawan 2019 kali ini ialah berkaitan dengan pengangkutan awam.

Dengan sasaran untuk meningkatkan kadar penggunaannya berbanding pemilikan kenderaan persendirian, kerajaan akan memberikan beberapa inisiatif untuk menggalak penggunaan pengangkutan awam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang memperluaskan rangkaian perkhidmatan bas percuma GO-KL di lokasi tumpuan awam termasuk kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, penelitian mendapati penduduk PPR memerlukan perkhidmatan bas percuma.

Oleh itu menerusi peruntukan RM20 juta dalam Belanjawan 2019, antaranya akan digunakan bagi tujuan memperluaskan rangkaian perkhidmatan GO-KL, khususnya menjadikan kemudahan ini sebagai bas pengantara kemudahan rel.

Cadangan lain yang kini dalam pertimbangan menerusi peruntukan itu ialah mewujudkan laluan khas kenderaan pengangkutan awam sebagai usaha penyuraian trafik di sekitar ibu negara.

Pada pandangan saya, pengangkutan awam harus diberi perhatian oleh kerajaan dalam usaha memberikan perkhidmatan dan kemudahan terbaik kepada rakyat antaranya adalah perkhidmatan bas percuma, GO-KL.

Perkhidmatan GO-KL merupakan inisiatif kerajaan untuk mewujudkan perkhidmatan bas percuma bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar dengan menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan ini yang beroperasi setiap hari.

Hampir setiap hari, 52,000 warga kota menggunakan perkhidmatan percuma ini dengan kondisi bas yang selesa serta kemudahan WiFi percuma.

Namun mengikut penelitian saya, pengguna bas GO-KL juga banyak dipenuhi warga asing. Kerajaan perlu memberikan kemudahan bas percuma ini hanya untuk warga tempatan dan mengenakan caj RM1 kepada warga asing.

Secara tidak langsung, hasil diperoleh membolehkan peruntukan lebih bayak dilaburkan untuk memperkembangkan kemudahan pengangkutan awam.

MUHAMAD NADZRIN MURAD

Pelajar akhir Fakulti Ekonomi 
dan Muamalat USIM