Agensi-agensi Kerajaan Pusat, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan para jurutera yang mempunyai kepakaran dalam teknologi kawalan banjir terkini perlulah duduk semeja bagi mencari kaedah lebih berkesan untuk mengelakkan bencana itu berulang.

Banjir boleh mengakibatkan kesan psikologi cukup mendalam dalam kalangan rakyat kerana bukan sahaja merosakkan harta benda malah boleh menyebabkan kehilangan nyawa manusia.

Tidak dinafikan, pelbagai jenis projek pembangunan yang sedang dijalankan di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada masa kini adalah untuk kesejahteraan warga kota.

Namun, sebarang projek pembangunan yang hendak dilaksanakan perlu mengambil kira faktor alam sekitar bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini seperti banjir kilat dan tanah runtuh.

Pelbagai faktor yang boleh menjadi punca kejadian banjir di Pulau Pinang dan banjir kilat di beberapa tempat Kuala Lumpur baru-baru ini seperti projek pembangunan di lereng bukit, perubahan cuaca dengan jumlah hujan lebih banyak dan sistem perparitan tidak sempurna.

Amaran Jabatan Meteoro­logi kemungkinan berlaku banjir gelombang kedua dan ketiga di sekitar utara Semenanjung Malaysia ekoran perubahan cuaca yang bermula bulan ini sehingga Februari depan, memerlukan semua pihak mengambil langkah proaktif bagi menghadapinya.

Antara langkah jangka panjang yang sesuai dilaksanakan adalah dengan mewujudkan lebih ba­nyak kawasan hijau terutamanya di bandar-bandar bagi memudahkan air hujan dikawal serta dapat mengelakkan sebarang kejadian tidak diduga daripada berlaku.

Kewujudan kawasan hijau seperti taman rekreasi, hutan simpan, padang, tasik dan lain-lain, di samping sistem perparitan yang efektif boleh memainkan peranan penting bagi membendung kejadian banjir kilat daripada berterusan terutamanya di kawasan bandar.

Kejadian banjir jarang sekali berlaku di Pusat Bandar Kuala Lumpur (KLCC) kerana wujud Taman KLCC seluas 20 hektar di situ dan pada masa sama dibina sistem saliran yang efektif.

Oleh itu, sebarang projek pembangunan yang hendak dilaksanakan terutama di lereng bukit walaupun bersaiz kecil perlu lulus kajian impak alam sekitar (EIA). Sekarang, pembangunan di kawasan melebihi 20 hektar sahaja yang wajib lulus EIA.

Kewujudan kawasan hijau bukan sahaja dapat memben­dung masalah banjir malah dapat memberi pelbagai manfaat kepada warga kota termasuk kemudahan untuk berekreasi, aktiviti senaman dan beriadah bersama keluarga.

Kawasan itu juga dapat membekal oksigen dan mewujudkan persekitaran yang indah untuk dinikmati semua pihak.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)