Ibu bapa berasa sangat marah kerana ada sekolah yang seolah-olah mengambil kesempatan ke atas keluarga yang terhimpit dengan kegawatan ekonomi semasa.

Untuk pengetahuan umum, dalam industri buku di Malaysia, buku kerja dan rujukan biasanya memang diedarkan melalui rangkaian kedai buku sekolah.

Biasanya guru-guru panitia akan menentukan tajuk yang akan digunakan setelah meneliti contoh buku-buku yang dihantar oleh penerbit. Cadangan mereka akan dipersetujui oleh pihak sekolah sebelum diserahkan kepada pembekal yang akan menyediakan buku untuk diedarkan kepada pelajar.

Pembekal buku di sesebuah sekolah dipilih melalui amalan tender terbuka yang biasanya dikendalikan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Pembekal diminta membayar sewa tahunan kepada sekolah. Satu kontrak perkhidmatan yang sah selama dua tahun wujud antara sekolah dan pembekal terbabit.

Seorang pembekal buku mendedahkan, disebabkan persaingan industri semakin hebat, kadar sewa yang dibayar kepada sekolah semakin tinggi tahun demi tahun.

Bukan itu sahaja, disebabkan pembekal buku terpaksa bersaing sengit sesama sendiri, ada dalam kalangan mereka berani mengambil risiko dengan menawarkan sogokan kepada pengetua atau guru besar untuk memastikan tender bagi kedai buku sekolah dimenangi oleh mereka. Segelintir penerbit pula dikhabarkan gemar berusaha memberi suapan agar buku mereka terpilih dan dijual di kedai buku sekolah.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, setiap bulan, pihak atasan sekolah juga disuapkan komisen daripada jualan alat tulis di kedai buku sekolah. Pada penghujung tahun, kononnya satu insentif khas bersifat angpau kadang-kadang ditawarkan jika jualan keseluruhan kedai buku mencatat keuntungan.

Justeru, jangan hairan dan terkejut mengapa kedai buku di sekolah-sekolah dipenuhi dengan himpunan pelbagai buku, alat tulis dan barangan serbaguna kecil-kecilan yang diimport dari China bertujuan memancing wang saku harian pelajar. Oleh yang demikian, sama ada sesuatu barangan yang dijaja itu betul-betul memanfaatkan pelajar tidak lagi dititikberatkan.

Sesetengah pembekal buku sekolah berskala besar amat berpengaruh dan mempunyai jaringan politik kuat dalam kalangan warga pendidikan awam.

Dikhabarkan adakala penjawat awam pendidikan yang berhubung rapat dengan mereka diberi peluang untuk mengikuti rombongan insentif ke luar negara. Semoga amalan tidak berintegriti seperti ini segera mendapat perhatian pihak berwajib.

WARGA PRIHATIN SEKOLAH

Kuala Lumpur