Tapak yang dicadangkan itu berada di sebelah utara taman kami dan mempunyai kecerunan lebih daripada 20 darjah (cerun kelas tiga dan empat) yang mempunyai ketinggian altitud antara 100-200 meter dari aras laut.

Disebabkan itu, sebarang pembangunan di tapak itu semestinya akan menyebabkan impak alam semula jadi yang serius kepada semua penduduk Taman Amansiara dan sekitarnya.

Contohnya, pada 2009 apabila Taman Amansiara dibina, kawasan taman kami sering dilanda tanah runtuh dan kejadian paling serius dilaporkan pada 4 November 2009 apabila tanah runtuh berlaku dan menutupi jalan raya Kuala Lumpur-Rawang di kedua-dua haluan.

Walaupun tiada kemalangan maut, laluan trafik dua hala terpaksa ditutup untuk jangka masa lama dan mengakibatkan kesulitan kepada penduduk dan pengguna jalan raya.

Tambahan pula, kawasan sekitar Taman Amansiara mempunyai struktur tanah yang lemah, jelas terpapar dengan bukti gambar-gambar dalam internet mengenai rumah di situ bermasalah dengan keretakan.

Kejadian banjir kilat yang menyebabkan kesesakan lalu lintas juga sering dialami bukan sahaja penduduk Taman Amansiara tetapi seluruh warga kota yang saban hari mengguna jalan raya Kuala Lumpur-Rawang.

Di samping itu, disebabkan kejadian tanah runtuh yang kerap berlaku, 45 banglo mewah di Templer Hills berhampiran taman kami yang telah siap dibina pada 2013 masih tidak mendapat sijil layak menduduki (CF) disebabkan oleh isu-isu tidak didedahkan.

Selain itu, di sekitar tapak yang dicadangkan untuk penyahwartaan itu tidak kurang rumahnya, kerana terdapat pelbagai taman contohnya Selayang Heights, Dolomite Templer, Taman Bukit Templer, Taman Templer Saujana dan Taman Templer Park yang masih ada kekosongan kerana kadar penghunian adalah rendah.

Disebabkan itu, kawasan cadangan tapak itu untuk dinyahwartakan serta sekitarnya amatlah tidak sesuai untuk sebarang pembangunan rumah baharu. Kawasan itu dan persekitarannya adalah kawasan sensitif alam sekitar dan telah dipilih sebagai zon penampan teras kepada Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang juga kawasan tadahan air hujan dan kaya dengan flora serta fauna.

PENDUDUK TAMAN AMANSIARA

Rawang, Selangor