Dua kawasan HSK tersebut adalah sebahagian Hutan Simpan Sungai Buloh, daerah Petaling seluas 1.24 hektar dan sebahagian Hutan Simpan Bukit Lagong, daerah Gombak seluas 28.3 hektar.

Hutan Simpan Sungai Buloh sangat penting kerana telah diiktiraf sebagai HSK tertua di Malaysia.

Sejak 1898, dari semasa ke semasa sebahagian besar keluasan hutan berkenaan (keluasan asal adalah 6,590 hektar) telah dimansuhkan dan dikorban atas nama pembangunan.

Kini Hutan Simpan Sungai Buloh semakin mengecil dan perkara yang membimbangkan SAM adalah keluasan terkini hanya kira-kira 25 hektar. Oleh itu, adalah wajar Hutan Simpan Sungai Buloh dikekalkan keluasannya sebagai kawasan perlindungan warisan.

Pengekalan keluasan sedia ada Hutan Simpan Sungai Buloh dan Hutan Simpan Bukit Lagong serta lain-lain HSK di Lembah Klang adalah amat penting kerana ia berperanan untuk mengimbangi antara pembangunan fizikal dengan kawasan semula jadi.

Pembangunan fizikal terutama perubahan guna tanah kepada perbandaran begitu pesat di Lembah Klang sedangkan zon hijau semakin berkurangan, telah menyebabkan kadar pelepasan gas rumah hijau semakin meningkat dan boleh memberi impak kepada kualiti kehidupan penduduk sekitarnya.

Beberapa kejadian kemalangan jalan raya dan gangguan kepada manusia yang melibatkan haiwan-haiwan liar sebelum ini menunjukkan bahawa kawasan HSK di Lembah Klang terutama di luar kompleks hutan Central Forest Spine, Banjaran Titiwangsa yang telah menjadi ‘pulau hutan’ masih merupakan habitat utama terutama kepada haiwan-haiwan liar yang dilindungi sepenuhnya.

Cadangan memansuhkan sebahagian Hutan Simpan Sungai Buloh dan Hutan Simpan Bukit Lagong adalah bercanggah dan tidak selari dengan salah satu strategi utama Jabatan Perhutanan Selangor iaitu mengekalkan HSK sedia ada dan meningkatkan keluasannya.

Cadangan memansuhkan sebahagian HSK terbabit adalah bercanggah dengan matlamat dan sasaran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia untuk mencapai lima juta hektar keluasan HSK daripada keluasan tanah Semenanjung Malaysia.

Di samping itu, cadangan memansuhkan sebahagian HSK berkenaan tidak selari dengan saranan Kerajaan Persekutuan

semasa pembentangan Belanjawan 2019 supaya semua kerajaan negeri mengambil usaha melindungi kawasan perlindungan sedia ada dan menambah kawasan perlindungan baharu.

Malah kepemimpinan kerajaan Selangor sebelum ini begitu bersungguh-sungguh untuk terus menjaga khazanah alam serta warisan hijau supaya ia sentiasa terpelihara apabila bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan Selangor tidak boleh berasa selesa dengan jumlah semasa HSK meskipun melebihi 30 peratus daripada keluasan tanah negeri dan ia perlu diperluaskan.

Oleh itu SAM berharap kerajaan Selangor mempertimbangkan untuk tidak meluluskan pemansuhan sebahagian HSK terbabit dan lain-lain kawasan HSK khususnya di Lembah Klang.

SAHABAT ALAM MALAYSIA

Pulau Pinang