Pengumuman tersebut dilihat memberi kesan psikologi yang amat mendalam kepada masyarakat, khasnya penjawat awam dan orang Melayu amnya. Malah kesan negatif tersebut tentulah bukan sahaja kepada diri mereka tetapi juga kepada keluarga masing-masing.

Ini kerana ia melibatkan sumber rezeki untuk diri sendiri dan juga seisi keluarga. Sama ada dasar itu akan dilaksanakan dengan segera atau sebaliknya. Harap-harap tidak menjadi kenyataan.

Bagi mereka yang telah lama berkhidmat dan usia pula sudah berada pada suku akhir menjelang tarikh persaraan serta mempunyai ahli keluarga yang ramai dan pada masa sama mempunyai banyak komitmen seperti persekolahan anak-anak dan sebagainya, kesan tersebut tentulah lebih besar.

Tidak diketahui apakah sebenarnya ukuran tentang istilah ‘terlalu ramai’ itu, sama ada atas faktor yang dinisbahkan dengan jumlah penduduk atau atas faktor-faktor lain. Jika ukuran saiz 1.7 juta itu berdasarkan kepada nisbah penduduk, saya kira jumlah tersebut tidaklah begitu besar sangat kerana jumlah penduduk negara kita ketika ini lebih kurang 34 juta. Maka jumlah penjawat awam kira-kira 0.05 peratus sahaja.

Seperti diketahui umum, penjawat awam di negara ini mempunyai pelbagai kaum dan etnik yang diwarisi sejak dahulu lagi sejajar dengan komposisi kependudukan negara sejak lama dahulu.

Difahamkan sehingga kini dari segi nisbah kaum, orang Melayu lebih 60 peratus. Ini bermakna secara kasarnya baki lebih 30 peratus lagi adalah kaum-kaum lain.

Penjawat awam di negara ini adalah terdiri daripada beberapa kategori seperti kumpulan sokongan, pengurusan dan profesional, jawatan utama sektor awam (JUSA) dan tertinggi. Difahamkan kumpulan sokongan adalah yang paling ramai. Kumpulan ini biasanya adalah dalam kalangan mereka yang mempunyai kelayakan akademik diploma dan ke bawah yang sudah tentu akan paling merasai kesan buruk jika hilang pekerjaan.

Justeru pada hemat saya, langkah mengecilkan saiz penjawat awam sedia ada bukanlah satu tindakan yang baik untuk mengurangkan bebanan kewangan kerajaan.

Ini kerana sejauh pengetahuan saya, penjawat awam memainkan peranan besar dalam menterjemah dan merealisasikan hasrat serta dasar-dasar kerajaan kepada rakyat.

Pada sisi lain, mereka adalah penghubung antara kerajaan dan orang ramai. Lagi tinggi komitmen mereka terhadap tugas, bertambah positif persepsi orang ramai terhadap kerajaan.

Oleh itu, langkah mengecilkan jumlah penjawat awam ketika jumlah penduduk sentiasa bertambah dari semasa ke semasa dilihat akan mendatangkan kesan buruk bukan sahaja kepada rakyat keseluruhannya bahkan juga kerajaan.

Saya amat berharap cadangan mengecilkan saiz penjawat awam tidak menjadi kenyataan. Biarlah sistem pengagihan ekonomi yang diamalkan selama ini terus dilaksanakan tanpa prasangka.

PEMERHATI POLITIK AMATUR

Kedah