Kenyataan itu bermakna UEC secara automatik boleh menggantikan STPM. Dewan Pemuda Ikatan berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bertungkus lumus memperjuangkan agenda untuk mengiktiraf UEC dan rakyat Malaysia keseluruhan, mendalami sejarah UEC itu sendiri yang sebenarnya boleh memberi kesan kepada pendidikan nasional.

Isu pengiktirafan sijil ini hangat diperdebatkan oleh semua golongan masyarakat, termasuk pendidik dan pengkaji sejarah tanah air.

Amat malang apabila UEC juga menjadi alat politik PH untuk meraih sokongan kaum Cina sedangkan isu ini tidak harus dipolitikkan kerana ia melibatkan soal pendidikan nasional.

Selepas negara mencapai kemerdekaan pada 1957, kerajaan pada ketika itu sedar bahawa pendidikan adalah alat terbaik untuk menyatupadukan semua rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama.

Bagi tujuan perpaduan nasional, kerajaan mencadangkan penyatuan sistem pendidikan yang terdiri daripada pelbagai aliran.

Kerajaan Malaysia akan membiayai segala kos pendidikan sekolah-sekolah dan mengawal sukatan pelajaran agar mengikut standard sama.

Namun usaha ini ditolak segelintir masyarakat Cina hingga mereka membentuk sekolah persendirian Cina yang dikelolakan oleh Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong).

Oleh itu, adalah tidak adil kepada seluruh rakyat terutama kaum Cina yang melanjutkan pelajaran ke sekolah jenis kebangsaan sekiranya kerajaan mengiktiraf dan memberi layanan sama rata kepada lepasan sijil UEC.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan masih mahu melakukan kajian terperinci, tetapi pihak lain dalam kerajaan telah mendahului dan membuat pelbagai pengumuman yang bersifat satu pihak. Jelas, kementerian itu tidak bermaya dalam menangani isu UEC.

Dasar Pendidikan Kebangsaan kini dilihat telah diperkotak-katikkan apabila sekolah persendirian Cina yang menolak bahasa kebangsaan sebagai pengantar sukatan pelajaran telah diiktiraf.

Isu UEC perlu ditangani berhati-hati kerana implikasi kepada sistem pendidikan negara kita amat besar.

Jika diiktiraf, Malaysia bakal mempunyai dua sistem pendidikan kebangsaan yang mempunyai silibus pendidikan dan bahasa pengantar berbeza.

Bagaimanakah perpaduan nasional mahu diwujudkan apabila anak-anak kita dipisahkan melalui sistem pendidikan?

SHAHIR ADNAN

Ketua Pemuda Ikatan