Bagaimanapun, saya percaya ramai warga kota khususnya pengunjung setia taman tasik itu membantah rancangan berkenaan.

Biarlah pusat riadah itu dengan bentuk asal tanpa diusik struktur atau binaan futuristik. Ini bagi memberi peluang kepada warga kota merasai suasana Kuala Lumpur seperti sedia ada dengan pokok-pokok menghijau berserta wakaf yang mempunyai reka bentuk klasik.

Apa yang perlu DBKL lakukan melalui projek RoL adalah untuk memastikan kualiti air di tasik itu lebih bersih pada masa depan.

Saya berharap DBKL mengambil pengajaran daripada projek RoL di sekitar Dataran Merdeka sebelum ini yang menyaksikan beberapa binaan lama dimusnahkan.

Jika taman-taman riadah di ibu kota negara asing kekal dengan identiti klasik bersama rimbunan tumbuh-tumbuhan semula jadi sesuai dengan iklim dan budaya mereka, kenapa DBKL harus melakukan sesuatu yang berlainan.

Kembalilah kepada objektif asal projek RoL. Sepatutnya dana yang ada dimanfaatkan untuk memastikan kualiti air di Sungai Gombak dan Sungai Klang menjadi lebih bersih pada tahap optimum.

Cukuplah dengan projek Kolam Biru berhampiran Masjid Jamek dan jajaran siar kaki berdekatan Panggung Bandaraya kerana lokasi tersebut sebelum ini 
memang kosong dan wajar diperbaiki.

Warga kota tidak menolak pembangunan tetapi biarlah pada masa sama kehijauan alam semula jadi dan tinggalan warisan masa lalu dikekalkan.

MOHD. ARIF ATAN

Kampung Baru, Kuala Lumpur