Usaha untuk mengatasi masalah integriti ini perlu berbalik semula kepada sistem pendidikan di negara ini.

Nilai bersih dan amanah perlu dinilai semula agar ia menjadi sebahagian daripada pendidikan memupuk integriti dalam kalangan orang muda.

Pemupukan nilai-nilai murni seperti ini telah dilancarkan pada 1982 oleh Perdana Menteri ketika itu, Dr. Mahathir Mohamad melalui kempen Bersih, Cekap dan Amanah sebagai satu dasar masyarakat khususnya kakitangan awam.

Konsep ini selaras dengan kempen Kepimpinan Melalui Teladan pada 1983. Bersih, Cekap dan Amanah telah dijadikan wadah dalam membangunkan integriti sektor awam, maka ia perlu diperhalusi semula sesuai dengan keperluan negara masa kini.

Jika berdasarkan kepada teras nilai bersih, ia bermakna mempunyai nilai moral tinggi, berdisiplin, tidak menyeleweng dan tidak rasuah. Bersikap berkecuali, tidak pentingkan diri, tidak khianat, hasad dan dengki.

Penerapan nilai bersih seperti ini perlu juga diterapkan dalam diri pelajar.

Nilai cekap pula perlu mempunyai semangat berani dalam membuat sesuatu keputusan, menghadapi krisis dengan tenang dan bersikap tegas kepada prinsip.

Nilai amanah pula menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dalam batas kuasa ditentukan dengan penuh gigih dan ikhlas bagi mencapai objektif yang ditetapkan.

Mempunyai sifat luhur dan murni, umpama jujur kepada diri sendiri, rakan dan organisasi.

Penerapan nilai-nilai integriti pula dapat mendidik pelajar atau generasi baharu akan pentingnya amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dalam apa jua tindakan termasuklah tidak mengamalkan rasuah.

DR. HASNAH HUSSIIN

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Pahang (UMP)