Rata-rata penduduk negara ini yang berpendapatan rendah melakukan dua pekerjaan bagi menampung kos sara hidup dan perbelanjaan harian yang semakin meningkat.

Mereka bekerja lapan jam sehari pada pagi hingga petang dan menyambung pekerjaan lain di waktu malam atau bekerja sampingan pada waktu cuti.

Contohnya, mereka melakukan perniagaan dalam talian, menjadi pemandu syarikat perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti Uber dan Grab, perniagaan penghantaran makanan dan menghasilkan kraftangan.

Sebenarnya, terdapat pelbagai faktor yang mendorong seseorang itu mempunyai dua pekerjaan dan bukan semata-mata bagi menampung perbelanjaan harian atau membayar hutang.

Ada individu melakukan dua pekerjaan dalam satu masa kerana mempunyai sasaran untuk memiliki aset atau tabungan pada masa hadapan. Mereka memanfaatkan setiap saat untuk melonjakkan pendapatan dan pada masa sama dapat meningkatkan taraf hidup ke tahap lebih baik.

Di samping itu, terdapat individu yang membuat dua pekerjaan untuk mendapat pengalaman bekerja dan memastikan mereka tidak menganggur jika dibuang kerja dalam keadaan ekonomi tidak menentu.

Namun, membuat dua pekerjaan dalam satu masa mempunyai kelemahannya tersendiri iaitu individu akan mengabaikan kerjaya utama mereka kerana terlalu penat.

Mereka mudah menghadapi tekanan perasaan, tidak dapat menguruskan masa dengan baik dan terpaksa mengurangkan waktu bersama-sama dengan keluarga disebabkan kesibukan bekerja.

NURUNNADIAH RAZAMAN

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)