Ratu Mesir, Cleopatra (tahun 69 ke 30 sebelum Masihi) dikhabarkan turut menggunakan merkuri untuk mencerahkan warna kulitnya. Kebanyakan wanita muda di negara ini juga mempunyai keinginan serta obses kepada kulit putih.

Melalui kaji selidik yang saya dan rakan akademik, Siti Zulaikha Rusmadi jalankan ke atas 196 pelajar wanita di institusi pengajian tinggi sekitar Lembah Klang yang berumur antara 20 hingga 30 tahun pada 2015 mendapati 59.7 peratus atau 117 daripada mereka menggunakan produk pencerah kulit.

Sebanyak 84.6 peratus daripada mereka menggunakan pencuci muka diikuti oleh pelembap (41.9 peratus) dan toner (29.1 peratus).

Antara faktor utama pemilihan produk pencerah kulit adalah berdasarkan harga diikuti dengan bahan yang digunakan dan cadangan daripada rakan atau testimoni keberkesanan.

Jenama dan pengiklanan pula mempunyai pengaruh yang sedikit terhadap kumpulan pelajar iaitu kurang daripada 26 peratus dalam proses pemilihan produk.

Kebanyakan responden juga memilih produk tempatan berbanding produk antarabangsa dengan julat harga RM30 sehingga RM60 menjadi pilihan ramai.

Sekitar 67.5 peratus daripada responden tidak berpuas hati dengan keberkesanan produk yang mereka gunakan, 68.4 peratus pula mendapati produk tersebut tidak memberikan kesan yang diingini sementara 26.6 peratus mengalami kesan ­sampingan pada kulit.

Majoriti responden (54.6 peratus) menyatakan kulit yang cerah dapat meningkatkan keyakinan diri sementara 47.4 peratus mahu kelihatan lebih cantik dan lebih sihat.

Kumpulan pelajar wanita terbabit juga beranggapan lelaki menganggap wanita berkulit cerah adalah lebih cantik berbanding wanita berkulit gelap.

Ada juga yang beranggapan kulit putih tergolong dalam kalangan kelas sosial yang tinggi serta dapat meningkatkan peluang untuk berkahwin dan membantu mereka mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.

Daripada 117 responden yang menggunakan produk pemutih kulit, 37.6 peratus mengalami masalah kulit, 54.5 peratus mempunyai masalah kulit mengelupas, 29.5 peratus masalah kegatalan dan 27.3 peratus masalah jerawat.

Majoriti responden (77.3 peratus) menyatakan masalah kulit yang mereka hadapi adalah berpunca daripada produk pemutih yang mereka gunakan tetapi hanya 27.9 peratus responden merujuk penyakit mereka kepada doktor.

Sebanyak 87.8 peratus wanita muda ini sedar produk men­cerahkan kulit boleh memberi kesan kepada kesihatan dan majoriti mengetahui tentang bahan-bahan berbahaya yang dilarang malah dapat menamakan bahan berbahaya yang biasa terdapat dalam produk kosmetik seperti merkuri dan hydroquinone.

Sebanyak 33 krim pencerah muka telah disampel dari pasaran tempatan yang terdiri daripada 17 produk tempatan dan 16 produk antarabangsa.

Beberapa jenis logam berat telah dikesan dalam produk-produk pencerah tersebut. Meskipun pada julat yang kecil dan tidak melebihi kadar ditetapkan berkuasa, kandungan logam berat itu boleh mendatangkan kemudaratan dalam jangka masa panjang.

Logam berat mempunyai keupayaan untuk mengumpul dalam sel-sel lemak, rambut, kelenjar dan tulang yang boleh membawa kepada masalah kesihatan kronik.

Elemen ini mempunyai jangka hayat yang panjang dan boleh kekal dalam badan manusia sehingga 30 tahun.

Nikel boleh menyebabkan alergi kulit sementara Kadmium diklasifikasikan sebagai agen kanser oleh Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Kanser (IARC).

Plumbum pula boleh memberi kesan kepada sistem saraf, kardiovaskular, sistem imun, tulang, buah pinggang dan gigi.

Kesimpulannya, wanita perlu bersikap positif dan menerima warna kulit mereka seadanya dan tidak mudah terpengaruh dengan iklan-iklan semasa yang menggambarkan kulit putih sebagai sesuatu yang indah.

Walau apapun warna kulit seseorang, penjagaan rapi dapat mengekalkan kesihatan kulit dan akan kelihatan menawan walaupun berkulit gelap. Katakan tidak kepada produk pemutih.

DR. SHARIFAH NORKHADIJAH SYED ISMAIL
Universiti Putra Malaysia