Saya tidak pasti nasib penunggang itu tetapi nampaknya terdapat dua ekor lembu yang mati susulan pelanggaran tersebut. Persoalannya, siapakah pemilik lembu-lembu itu dan kenapa dilepaskan begitu sahaja?

Mungkin juga penunggang motosikal itu memecut laju sehingga tidak sempat mengelak tetapi tidak munasabah untuk pengguna jalan raya mengelak haiwan ternakan di jalan raya dalam zaman serba moden ini.

Jika di lebuh raya yang dikelilingi hutan, boleh diterima jika kenderaan perlu berhati-hati sekiranya haiwan liar seperti gajah, tapir, babi hutan dan sebagainya melintas.

Kambing dan lembu bebas berkeliaran di kawasan kampung pun sudah kelihatan janggal tetapi saya pernah melihat sekumpulan lembu dibiarkan berkeliaran di Sentul, Kuala Lumpur, tidak jauh dari pusat bandar.

Oleh itu, sudah sampai masanya pihak berwajib memantau masalah ini dan hentikan sepenuhnya perbuatan membiarkan haiwan ternakan bebas berkeliaran di tempat awam. Bayangkan jika orang awam diserang haiwan ternakan, siapa mahu bertanggungjawab?

ABIN SUR

Keramat