Isu ini mungkin nampak remeh tetapi anggota beruniform khususnya kakitangan keselamatan yang hutang keliling pinggang sebenarnya berisiko tinggi terlibat dengan rasuah mahupun jenayah lain.

Bukan sahaja polis, pegawai imigresen mungkin melepaskan pendatang haram untuk mendapatkan ‘duit lebih’, pegawai kastam melepaskan barang masuk atau keluar tanpa diperiksa malah tentera mungkin membiarkan musuh negara merentasi sempadan sesuka hari.

Memang ada yang memang kaki ‘makan suap’ tetapi ada juga anggota beruniform ini terpaksa atau terjerumus mengambil rasuah disebabkan kekangan hutang sama ada dengan bank mahupun ah long.

Kerajaan telah menaikkan gaji pasukan beruniform dengan mendadak sejak beberapa tahun lalu bagi mengurangkan risiko mereka ‘dipancing’ mengambil rasuah tetapi beban hutang juga perlu diambil kira.

Saya sarankan pihak berwajib mengkaji mekanisme khas untuk anggota beruniform memohon pinjaman supaya mereka dapat menikmati pembiayaan kewangan seperti orang lain tetapi risiko lebih rendah dalam pembayaran balik.

Cari satu keseimbangan supaya hutang anggota beruniform tidak memaksa mereka menerima tawaran rasuah daripada sesiapa sekali pun.

Selain itu, didik anggota pasukan beruniform mahupun pasangan mereka hidup berasaskan kemampuan semasa dan jangan terlalu mengejar kemewahan umpama mereka pegawai tinggi dunia korporat atau watak dongeng drama Melayu.

Pasukan beruniform banyak berkorban untuk orang awam khususnya mendedahkan diri kepada pelbagai risiko bahaya. Sedikit kelonggaran atau kelebihan dalam aspek pembiayaan kewangan boleh dianggap timbal balas untuk pengorbanan mereka kepada negara.

AZMAN ABDUL AZIZ

Kuala Selangor