Pada awal tahun ini, Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan laporan yang mengesahkan bahawa murid-murid di sekolah kebangsaan dan vernakular menggalas beg sekolah terlalu berat yang menyebabkan risiko mengalami masalah tulang belakang.

Masalah itu bukan sahaja berlaku di Malaysia malah turut terjadi di negara-negara lain di seluruh dunia. Fenomena itu adalah isu global yang perlu ditangani dengan sewajarnya.

Ahli Parlimen Australia, Luke Simpkins pernah membangkitkan isu beg sekolah berat di negara itu dan menyifatkan beban yang dibawa murid bersamaan dengan berat beg yang digunakan pelatih tentera ketika latihan ketenteraan pada sekitar 1980-an. Menurut beliau, kanak-kanak yang membawa beg lebih daripada 15 peratus berat badan mereka akan berhadapan dengan masalah kerosakan tulang belakang kekal.

Antara saranan pihak kementerian untuk mengatasi isu ini adalah sekolah perlu mematuhi piawaian antarabangsa mengenai beban yang boleh dibawa murid berdasarkan usia dan berat badan mereka. Ia juga mencadangkan murid hanya membawa buku yang berkaitan dengan jadual harian mereka.

Walaupun jadual buku teks telah disusun semula untuk mengurangkan berat beg, nampaknya langkah itu tidak berkesan kerana sesetengah subjek memerlukan empat hingga lima buku latihan, tidak termasuk buku teks.

Cadangan beberapa pihak supaya disediakan lokar di sekolah tidak dapat menyelesaikan masalah ini kerana murid perlu membawa pulang buku untuk melakukan kerja rumah. Beg troli juga tidak dapat menyelesaikan masalah kerana berat beg kosong jenis itu boleh melebihi dua kilogram. Murid boleh menolaknya di tingkat bawah tetapi apabila mendaki tangga, ia cukup berbahaya kepada keselamatan mereka.

Saya juga berharap pihak kementerian mencontohi saranan Akademi Ortopedik Amerika yang mengesyorkan berat beg sepatutnya kurang daripada 10-15 peratus berat badan murid.

Sering kali, kanak-kanak tidak membawa beg sekolah dengan betul yang turut meningkatkan risiko kecederaan. Beg sekolah yang tidak digunakan dengan betul boleh mencederakan otot dan sendi serta akan menyebabkan sakit belakang, leher dan bahu yang teruk serta masalah postur. Oleh itu, murid perlu diajar untuk membawa beg sekolah dengan cara yang betul.

DIANA CHE LAT

Universiti Teknologi Mara (UiTM)