Kami ingin menasihatkan semua pihak agar jangan pandang remeh akan teguran atau titah baginda, juga perlu diingatkan kepada semua ahli majlis perbandaran khususnya yang bukan Melayu bahawa menukar kerajaan bukan bererti turut memansuhkan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 mahu pun Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Baca kembali Perlembagaan Persekutuan jika ingin menjadi ahli majlis, kerana ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) juga ‘pembuat dasar’ di peringkat kerajaan tempatan tetapi jangan berani sentuh Perlembagaan Persekutuan yang menjadi teras nasional.

Kami berharap kerajaan baharu agar lebih tegas.

Jangan membiarkan bahasa kebangsaan dianggap tidak penting dalam apa jua urusan surat-menyurat.

Kami menganggap jika ada pihak yang tidak mempedulikan teguran Sultan Johor dan tokoh budaya dan bahasa bolehlah disamakan seperti ‘penderhaka dan pengkhianat’.

Memperkasakan bahasa Melayu adalah perjuangan.

Bahasa Melayu mesti dipertahankan agar bahasa kebangsaan sentiasa dimartabatkan kedudukannya di negara ini.

Pelantikan beberapa tokoh yang mengetuai beberapa agensi penting negara dalam kalangan bukan berbangsa Melayu serta tidak mahir menguasai bahasa Melayu akhir-akhir ini menjadi isu.

Ini perlu dijadikan iktibar betapa bahasa kebangsaan ini semakin terpinggir dan tidak dipedulikan.

Kami berharap kerajaan sedar mengenai perkara ini.

Kerajaan juga perlu serius bagi memastikan semua agensi kerajaan dan swasta, pemimpin politik, institusi pendidikan dan syarikat serta badan berkanun di negara ini patuh dalam menggunakan bahasa Melayu sebagai medium perhubungan rasmi.

A. RAHMAN MAHADI

Presiden PPPMM