Sedar atau tidak, kebanyakan produk kosmetik terutama bedak dan krim kecantikan mengandungi merkuri. Tidak dinafikan merkuri mampu membuatkan kulit muka kelihatan putih dalam masa singkat, dan sudah tentu mendapat perhatian pengguna.

Hakikatnya, merkuri adalah unsur logam yang berbahaya lagi beracun, dan penggunaannya dalam jangka masa panjang akan menyebabkan kulit kemerah-merahan serta kulit muka bertukar kusam dan gelap jika berhenti menggunakannya.

Kesan terhadap kesihatan pula termasuk apabila merkuri yang diserap kulit mengalir dalam darah dan seterusnya menyerang organ-organ seperti buah pinggang serta mengganggu sistem saraf yang menyebabkan insomnia, gangguan emosi dan tekanan.

Lebih malang, merkuri yang terdapat dalam badan ibu mengandung akan mengganggu pertumbuhan dan perkembangan bayi sehingga boleh menyebabkan keguguran! Justeru, berhati-hatilah memilih produk selamat dan mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.

Ingatlah, jangan diabaikan kesihatan demi kecantikan kerana cantik itu subjektif. Kecantikan sebenar bermula daripada dalaman yang sihat yang kemudian terpancar melalui fizikal secara keseluruhan.

ERRA FADILAH JUFRI
Universiti Sains Islam Malaysia