Hal demikian ini kerana kebanyakan mereka terutama yang masih muda seolah-olah tidak diambil peduli. Kebanyakan mereka terbiar bersendirian tanpa diberikan galakan seperti bantuan dari segi sara hidup khususnya mereka yang mempunyai anak-anak masih kecil.

Begitu juga tidak diberikan ruang dan peluang untuk mereka mendapatkan pengganti sebagaimana mudahnya golongan duda mencari calon isteri. Mungkin terhalang oleh adat dan adab turun temurun yang menyempitkan ruang untuk mereka bebas mendapatkan calon suami.

Bermacam-macam tohmahan dilemparkan kepada ibu-ibu tunggal yang selalunya apabila berlaku penceraian disalahkan wanita yang malang itu.

Begitu juga apabila ibu-ibu tunggal cuba berkawan atau mencari pengganti, akan dianggap seperti perigi mencari timba. Akhirnya bertambalah jumlah ibu tunggal tanpa pembelaan sebagaimana diharapkan.

Ubahlah peraturan dan sikap kita kepada lebih positif dan jangan abaikan hak-hak kaum wanita dengan mengetatkan pelbagai syarat atau terlalu berpegang kepada adat resam yang merugikan umat Islam itu sendiri.

Longgarkan syarat untuk lelaki berpoligami terutama sekali bagi suami yang berhasrat mahu mengambil ibu tunggal sebagai isteri kedua, ketiga atau keempat.

Sebagai manusia biasa yang mempunyai cita rasa dan dianugerahkan nafsu, sudah semestinya kita kena berlaku adil mengikut garis panduan Islam yang sebenar dan jangan kita sekat hak sesama manusia itu sendiri kerana kita berpandukan ajaran al-Quran dan sunnah.

Pertama sekali, pastikan kita bantu ibu-ibu tunggal dari segi saraan hidup mereka terutama sekali yang menanggung anak-anak masih kecil dan seterusnya cuba mencari mereka pekerjaan yang sesuai.

Akhir sekali carikan jodoh-jodoh mereka dengan melonggarkan segala syarat untuk membolehkan mereka bahagia sekali lagi iaitu dengan bersuami.

Kalau duda mudah untuk berkahwin, kenapa tidak ibu tunggal? Kikiskan rasa buruk sangka dan berbalah sesama insan diredai yang mempunyai cita rasa dan hak sama.

SYED ABDULLAH 
SYED OSMAN
Ampangan, Seremban