Adakah mereka yang membakar isu ini begitu takut dan benci kepada orang Islam dan Melayu sehingga tidak boleh menghormati hak mengamalkan budaya serta kepercayaan agama masing-masing?

Lebih menyedihkan bila ada yang Melayu dan Islam menyokong agenda ‘menghapuskan’ apa sahaja berkaitan bangsa dan agama mereka sendiri atas alasan ‘toleransi, moden, progresif dan bersederhana’.

Serangan terhadap perniagaan orang Melayu dan Islam baru-baru ini juga satu ke­sinambungan serangan terhadap institusi dan agensi seperti Tabung Haji, pusat zakat, Jabatan Kemajuan Agama Islam, Amanah Saham Bumiputera dan banyak lagi.

Belum habis isu ‘dobi untuk Muslim’ di Johor dan Perlis, kini golongan kurang ajar tersebut mengejar pula perniagaan kedai gunting rambut Muslimah (untuk wanita Islam sahaja) atas alasan sama iaitu ‘rasis’.

Adakah mereka tidak faham atau tidak mahu faham kedai gunting rambut Muslimah wujud bagi membolehkan wanita Islam yang bertudung tidak dedahkan aurat kepada lelaki (tulen atau jadian) mahupun terdedah kepada pandangan orang luar?

Jika konsep aurat umat Islam pun mereka tidak tahu, itu bermakna mereka umpama ‘katak bawah tempurung’ dan jika memang tidak mahu ambil tahu bermakna merekalah yang rasis sehingga tidak peduli sensitiviti kaum serta anutan agama lain.

Di Seri Kembangan, Selangor ada sebuah kedai gunting rambut milik peniaga Cina menyediakan ruang tertutup khas untuk Muslimah. Adakah ini juga dikira rasis?

Terbukti orang bukan Islam boleh memahami dan cuba menyesuaikan perniagaan mereka untuk memenuhi keperluan pelanggan Islam tetapi tidak kurang juga yang lantang dengan laungan ‘rasis’ ini merosakkan keharmonian yang wujud sejak sekian lama.

Sungguh menyedihkan jika Malaysia sebagai sebuah negara Islam terpaksa tunduk kepada tuntutan yang menghalang umat Islam mengamalkan kepercayaan agama mereka sendiri.

Tidak pelik jika semakin ramai orang Melayu dan umat Islam menyokong perlakuan agresif kerana semakin kerap ditekan malah dihalang menjalani hidup dengan aman di bumi mereka sendiri.

Jika suasana anti Islam ini berterusan, dikhuatiri muncul pula gerakan agresif menutup semua perniagaan bukan Melayu yang dilihat sebagai ‘sensitif’ kepada orang Islam khususnya melibatkan judi, arak dan urut (pelacuran). Tidak ubah seperti cari pasal - menggali ‘kubur’ sendiri.

ANAK MELAYU

Kuala Lumpur