Justeru semua rakyat Malaysia harus sedar bahawa satu-satu tamadun itu boleh musnah jika tamadun tersebut tidak berdamai dengan alam sekitar. Hakikatnya masih terdapat kejadian tanah atau jalan runtuh yang berlaku dan itu menunjukkan kegagalan kita menjadikan budaya penyelenggaraan serta keselamatan sebagai sebahagian cara hidup.  

Atas sebab itu, jika berlaku keruntuhan struktur dan bangunan atau kerosakan alam sekitar serta kemalangan di tempat kerja, kita yang sewajarnya bertanggungjawab. Bukannya dengan sewenang-wenang menyalahkan alam semula jadi atau peralatan kerja apabila terjadinya satu-satu kemalangan.

Yang pasti, kita perlu sedar bahawa sebarang tindakan yang mengakibatkan kemusnahan alam sekitar pasti akan membawa kesan buruk. Begitu juga dengan kegagalan menguruskan aspek keselamatan dengan baik, sudah tentu keadaan tersebut boleh mengundang berlakunya kemalangan khususnya di tempat kerja.    

Dalam pada itu, kemalangan maut yang membabitkan pengangkutan awam serta kenderaan lain jelas menunjukkan tentang keperluan untuk memperbaiki aspek keselamatan di jalan raya dan sikap pemandu itu sendiri.

Saya juga ingin mencadangkan agar soal penyelenggaraan perlu diberikan perhatian serius oleh pihak kerajaan kerana perkara itu juga amat berkaitan dengan soal keselamatan. Sehubungan itu kerajaan perlu menyediakan lebih banyak peruntukan untuk kerja-kerja penyelenggaraan yang dikendalikan sama ada jabatan, agensi atau pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dari segi soal politik pula, adalah penting bagi Malaysia untuk terus wujud sebagai sebuah negara yang demokratik, bersatu padu dan harmoni walaupun terdapat ideologi dan pandangan politik yang berbeza.

Dalam konteks ini kerajaan perlu mengekalkan perpaduan, keamanan dan keharmonian, keadilan sosial di samping menegakkan hak semua rakyat Malaysia seperti yang dijamin dalam Perlembagaan melalui program-program diadakan.

Pada masa sama, kita perlu lebih agresif dalam memperjuangkan isu-isu integrasi kaum, perpaduan dan pembinaan negara selain menggandakan usaha menangani masalah jenayah, penagihan dadah dan pelbagai gejala sosial yang dihadapi negara kita ketika ini.  

Saya juga berpandangan rancangan untuk menubuhkan semula Institut Penyelidikan Sosio-Ekonomi (Seri) di bawah Pejabat Perdana Menteri dan meningkatkan peranan Institut Pengajian Etnik di Universiti Kebangsaan Malaysia (Kita-UKM) adalah tepat pada masanya kerana kedua-dua institusi ini mampu membantu memperkukuhkan hubungan antara kaum dan etnik di negara ini.

Masalah rakyat terutama peningkatan kos sara hidup juga perlu ditangani dengan baik oleh kerajaan. Paling ketara kenaikan harga makanan. Mahu tidak mahu kerajaan perlu menangani isu ini dengan berkesan.

Apa pun kita akui kerajaan dalam Bajet 2018 telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan pelbagai langkah untuk mengurangkan kos hidup antaranya pengurangan cukai pendapatan. Saya juga ingin mengesyorkan agar kerajaan menyediakan lebih banyak manfaat kesihatan untuk warga emas kerana dijangka jumlah golongan itu yang hidup bersendirian akan meningkat.

Tidak ketinggalan kita juga harus memberi tumpuan kepada agenda menangani isu-isu sosial yang berlaku. Ini memandangkan pelbagai masalah sosial sedang melanda negara antaranya jenayah juvana, siber, perjudian haram, perbuatan ganas serta masalah dadah dan mental. Paling menyedihkan aktiviti-aktiviti tidak sihat itu turut melibatkan remaja dan belia.

Realitinya, jenayah masih menjadi salah satu masalah utama negara. Oleh itu, kita perlu berazam sempena tahun baharu ini untuk terus memeranginya terutama berkaitan dengan penyalahgunaan najis dadah melalui penglibatan seluruh rakyat Malaysia. 

TAN SRI LEE LAM THYE 

Kuala Lumpur