Oleh yang demikian, sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah berkebolehan untuk menguasai bahasa asing selain bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu agar mudah untuk berkomunikasi dengan bangsa-bangsa asing. Banyak tanggapan salah terhadap isu menguasai pelbagai bahasa asing, antaranya jika kita menguasai bahasa asing, bahasa ibunda akan terabai. Tanggapan tersebut ternyata salah sama sekali kerana tidak mungkin kita akan melupakan bahasa ibunda yang diguna pakai sejak lahir biarpun telah mempelajari bahasa asing.

Pendedahan dan penguasaan bahasa asing sewajarnya dipupuk dari di peringkat sekolah rendah lagi kerana pada usia muda, ingatan mereka masih kuat selain mempunyai tempoh masa yang panjang untuk menguasai sesebuah bahasa. Malah ia dapat memudahkan pelajar yang menduduki kertas bahasa tambahan seperti Perancis, Cina dan Tamil dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) serta 
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kelebihan menguasai bahasa asing juga boleh dimanfaatkan sepenuhnya apabila mula melangkah ke alam pekerjaan sementelah pelbagai sektor pekerjaan mula mengutamakan para graduan yang mampu bertutur sekurang-kurangnya tiga bahasa. Kelebihan tersebut membolehkan individu itu menceburkan diri dalam kerjaya seperti penterjemah atau sebagai jurubahasa dalam bidang kehakiman mahupun sektor pelancongan. Bahkan jika seseorang itu fasih berbahasa Inggeris, Melayu dan Cina di negara ini, dia mempunyai kriteria yang disukai oleh majikan kerana latar belakang negara yang memiliki masyarakat berbilang kaum.

Bukan sahaja dapat berinteraksi dengan individu berlainan bahasa, malah kita juga dapat memahami budaya sesuatu kaum kesannya perpaduan dapat diperkukuh dan isu perkauman dapat dilunturkan.

QISTINA ARYSSA

Pelajar MRSM Taiping, Perak