Sisa terdiri daripada lebihan atau makanan yang telah rosak merupakan sisa pepejal buangan domestik paling banyak dibuang oleh kebanyakan kediaman di negara ini. Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pernah mengeluarkan data komposisi sisa pepejal makanan di tapak pelupusan sampah sebanyak 55 peratus sekali gus menjadikannya bahan buangan tertinggi.

Sisa buangan makanan ini berasal dari beberapa sumber seperti kawasan perumahan dan perbandaran, hotel, premis makanan, institusi pengajian tinggi, sekolah , pusat komersial serta kilang. Kebiasaannya lebihan makanan yang tidak dimakan atau tidak terjual dibuang ke dalam tong sampah dan destinasi terakhirnya adalah di tapak pelupusan sampah. Hal demikian ini amat dibimbangi kerana secara tidak langsung menyumbang kepada pertambahan isipadu tapak pelupusan sampah.

Salah satu kaedah yang boleh digunakan dalam mengurangkan sisa buangan makanan ini adalah dengan mengitar semula. Sisa makanan seperti lebihan nasi, sayur-sayuran, buah-buahan dan lemak haiwan sebenarnya boleh dikitar semula menjadi baja kompos. Proses menghasilkan baja kompos ini adalah dengan memproses sisa makanan bersama effective microbe. Sisa makanan ini dikeringkan terlebih dahulu untuk menghilangkan kandungan air, kemudian diproses dengan bahan tadi seterusnya dijadikan baja kompos untuk tanaman menggantikan baja kimia.

Kebanyakan negara maju menjadikan sisa dari dapur ini sebagai baja kompos. Bukan sahaja menjimatkan ruang tapak pelupusan sampah malahan pencemaran tanah dan air juga dapat dielakkan ekoran baja yang digunakan adalah bersumberkan bahan organik.

Oleh yang demikian, kesedaran kepada pengurusan sisa pepejal harus diterap bermula dari rumah terutama lebihan makanan. Diharap kita sebagai masyarakat yang prihatin memandang serius terhadap sisa buangan ini bagi melestarikan alam sekitar untuk generasi akan datang.

MOHAMMAD ABDULLAH

Universiti Teknologi Mara Cawangan Johor