Selalunya wang itu didermakan oleh masyarakat Islam yang prihatin dan disimpan rapi sebagai amanah.

Kenapa tidak digunakan dengan membuka pasar mini bersebelahan masjid bertujuan mengembangkan ekonomi dan pada masa sama dapat membantu menjual produk halal lagi bersih yang kini banyak diusahakan oleh umat Islam itu sendiri dan secara tidak langsung dapat membantu perusahaan bumiputera.

Kita juga boleh menubuhkan koperasi masjid tetapi memerlukan modal yang besar juga. Oleh itu, bantuan kewangan atau modal perlu diambil daripada tabung masjid kerana pinjaman daripada institusi kewangan dikhuatiri bersubahat dengan riba.

Disyorkan juga barangan basah seperti ikan dan sayuran serta daging yang disembelih oleh jemaah masjid itu sendiri bagi meyakinkan umat Islam membelinya. Di samping itu, segala keuntungan dikembalikan kepada masjid supaya dapat membantu umat Islam yang memerlukan.

Selain membina ekonomi, langkah itu dapat menghindari barangan subahah kurang meyakinkan status halal dan haram serta dapat membantu perusahaan dihasilkan umat Islam yang sudah tentu bersih lagi suci.

Dengan memperkukuh ekonomi masjid, baharulah kita fikirkan untuk membina pusat pengajian al-Quran dan juga tempat beriadah berhampiran dengan masjid dan dengan kaedah ini akan memupuk kesedaran dan silaturahim erat sesama umat dengan rasa kasih sayang dan tanggungjawab termasuk golongan remaja.

Jadikanlah masjid sebagai tapak untuk mengembangkan kegemilangan ummah dan bersatu padu di dalamnya dengan meletakkan segala kefahaman politik dan ideologi masing-masing di luar pagar. Kita kembalikan semangat roh Islam di dalam jiwa kita dengan kerohanian dan jasmani yang akan menjadi contoh kepada seluruh umat.

Yang miskin dan bermasalah kita bantu setakat yang mampu dan pengajian agama termasuk didikan mengajar al-Quran diberi secara percuma dan kalau boleh agihkan makanan atau keperluan secara harian kepada mereka yang daif selain bimbing anak-anak kita tidak terjebak masalah sosial.

Semuanya akan jadi kenyataan jika kita berusaha ke arah itu dengan menaikkan taraf fungsi masjid. Apabila ekonomi kukuh, macam-macam masalah boleh diselesaikan dan pelbagai perkara berfaedah dapat dilakukan.

Insya-Allah, dengan berkat doa umat Islam diiringi usaha demi agama, kita pasti berjaya kerana itulah ajaran Islam sebagaimana diajarkan oleh Rasulullah SAW.

SYED ABDULLAH 
SYED OSMAN

Ampangan