Mereka mengaut keuntungan dengan menjual ruang iklan dalam kumpulan Facebook berkenaan tetapi pada masa sama membiarkan penyiaran berita palsu, fitnah dan tohmahan politik sepanjang musim PRU-14.

Kumpulan Facebook kini menjadi tumpuan kempen politik yang dipenuhi pelbagai fitnah, berita palsu dan penipuan untuk menimbulkan kontroversi dan seterusnya menarik ramai pengguna lain menjadi ahli.

Semakin ramai ahli, semakin mahal harga iklan dan semakin tinggi keuntungan yang dikaut pentadbir terbabit walaupun dengan cara menjaja berita palsu dan fitnah.

Saya anggarkan tidak kurang daripada 50,000 kumpulan Facebook diwujudkan pengguna di negara ini dengan tujuan berkongsi minat, informasi setempat, promosi perniagaan, alumni, persatuan, dakwah agama dan sebagainya.

Bagaimanapun, ada sebahagian pentadbir yang hanya bermotifkan keuntungan tanpa mengira batasan undang-undang.

Akta terbaharu ini membolehkan pentadbir yang membiarkan (tidak menapis kandungan) yang dikongsi ahli disabitkan di bawah Kesalahan No. 6, Subseksyen 1.

Sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM100,000 dan selepas disabitkan, jika penyiaran masih berterusan, pesalah boleh didenda selanjutnya tidak melebihi RM3,000 sehari bagi setiap hari kesalahan itu dilakukan.

 

SAMSUDIN AWANG

Alor Setar, Kedah