Mungkin kita boleh ‘meneri­ma permintaan untuk menjadi rakan’ tanpa berfikir dua kali, terutama jika individu terlibat adalah rakan atau nama yang dikenali. Kita mungkin merasa­kan bahawa tidak ada muda­rat­nya jika permintaan untuk menjadi rakan itu diterima.

Mempunyai lebih banyak rakan atau kawan bermakna kita akan lebih popular. Adakah ini benar? Yang paling dikhuatiri, kemungkinan juga rakan-rakan si­ber kita ini adalah dalam kalangan penjenayah siber. Oleh itu berhati-hatilah, kerana penjenayah siber berpotensi meniru profil kita sendiri atau seseorang yang kita kenal untuk tujuan menipu.

Facebook boleh dikategorikan sebagai pusat maklumat seseorang. Jika kita mencatatkan pelbagai maklumat dalam akaun peribadi Facebook dan pada masa sama kita sering menerima permintaan orang lain untuk menjadi rakan, maklumat serta gambar yang sebelum ini tidak boleh dilihat oleh umum akan menjadi paparan bagi rakan baharu ini.

Penjenayah siber sememang­nya cukup maklum ramai pengguna Facebook sedia menerima permintaan untuk menjadi rakan tanpa berfikir panjang. Justeru, peluang untuk seseorang mene­rima permintaan dari ‘penipu akaun’ adalah amat tinggi.

Sebaik sahaja penjenayah si­ber memperoleh maklumat dan gambar yang dikehendaki, de­ngan mudah mereka mencuri maklumat dan menggunakannya untuk kerja-kerja jenayah yang lain.

Justeru saya ingin berpesan agar kita sentiasa menjadi pengguna media sosial yang bijak. Sekiranya ada permintaan untuk menjadi rakan dari seseorang, sila ambil beberapa minit untuk menyemak profil individu berkenaan dalam senarai rakan yang ada.

Juga semak profil bagi menen­tukan sama ada terdapat tanda-tanda bahawa akaun individu terbabit tidak sah atau sebalik­nya. Pernah juga berlaku rakan Facebook tiba-tiba menghantar satu mesej dengan permintaan yang aneh, meminta wang atau klik pada pautan yang mencurigakan? Berhati-hati, kerana kemungkinan boleh menjadi tanda bahawa media sosial kita sedang digodam.

Menerima permintaan untuk menjadi rakan bermakna kita akan menambah bilangan rakan, tetapi dalam hal ini semua pihak perlu lebih berhati-hati. Sekali lagi saya berpesan, ambil beberapa minit dan lakukan siasatan kendiri sebelum menekan butang terima.

AZIZI AHMAD

Segambut Luar, Kuala Lumpur.