Yang pasti, pelaburan bitcoin ini boleh dikatakan sama dengan pelaburan skim cepat kaya iaitu pelabur-pelabur dijanjikan pulangan lumayan dalam tempoh yang singkat. Ini yang mendorong mereka melabur ke dalam skim-skim seumpama ini.

Realitinya, masih terdapat daripada masyarakat kita yang tidak pernah merasa serik walaupun pihak media sering memaparkan berita mengenai penipuan yang dilakukan oleh syarikat-syarikat pelaburan tidak berlesen semata-mata untuk memberi kesedaran kepada orang ramai.

Seharusnya kita perlu lebih berhati-hati untuk membuat pelaburan terutama yang membabitkan syarikat-syarikat yang seperti itu. Tiada guna kita mendapat untung setakat RM1,000 hingga ke RM2,000 untuk tempoh tiga bulan tetapi selepas itu semua pelaburan pokok berjumlah berpuluh-puluh ribu ringgit dibawa lari oleh syarikat tidak bertanggungjawab berkenaan.

Ya, saya faham yang mana rata-rata orang kita mahu untung cepat. Hendak cepat kaya. Sebab itu jenis orang sebegini mudah ditipu oleh syarikat pelaburan haram. Saya sarankan sekiranya hendak membuat pelaburan juga, melaburlah ke dalam syarikat-syarikat pelabur yang dilesenkan oleh pihak kerajaan.

Sebagai contoh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan syarikat-syarikat unit trust seperti Public Mutual, Pelaburan Mara Berhad (PMB) dan CIMB Unit Trust. Lagipun kebanyakan produk pelaburan yang ditawarkan ada yang patuh syariah.

Paling penting produk saham daripada syarikat terlibat dijamin selamat. Setiap pelabur akan mendapat dividen serta bonus apabila sampai tempoh ditetapkan. Seperkara lagi pelaburan bitcoin adalah dilarang di sisi Islam. Ini kerana pelaburan itu bersifat meragukan dan bertentangan dengan sistem muamalat Islam.

Berdasarkan pandangan ulama dan sarjana Islam seperti mana dinyatakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, bitcoin tidak menepati ciri-ciri mata wang yang ditetapkan dalam Islam apabila mata wang itu tidak mampu menyimpan nilai secara konsisten.

KAMAL

Pagoh