Aplikasi itu memberi ruang kepada pengguna untuk menyembunyikan sebarang video ataupun gambar dengan menggunakan antara muka grafik yang biasa digunakan.

Antara muka aplikasi yang kelihatan seperti kalkulator menyebabkan ibu bapa tidak dapat mengesan bahawa ia adalah satu aplikasi yang mampu menyembunyikan aplikasi lain serta bahan bacaan dan gambar yang tidak wajar ditonton.

Ya tuan-tuan dan puan-puan. Ia kelihatan seperti kalkulator, malah nama yang dipamerkan adalah juga kalkulator.

Bagi penjaga yang tidak begitu mahir akan teknologi pasti menyangkakan yang ia hanyalah sebuah aplikasi kalkulator dan tidak menyangka lebih dari itu.

Untuk membuka kandungan di dalam kalkulator itu, kata kunci yang telah ditetapkan hendaklah dimasukkan.

Oleh itu, ibu bapa haruslah bijak dalam memantau penggunaan telefon anak-anak. Antara langkah yang perlu diambil adalah dengan memeriksa aplikasi yang telah dimuat turun di dalam penetapan telefon pintar. Pilih untuk memaparkan semua aplikasi yang telah dimuat turun.

Sekiranya terdapat nama aplikasi yang meragukan telah dimuat turun, adalah perlu ibu bapa membuka aplikasi terbabit. Sekiranya ia membawa kepada kalkulator, anda mungkin perlukan penjelasan daripada anak-anak.

Antara aplikasi yang digunakan untuk menyembunyikan kandungan adalah App Hider, Calculator Vault dan Hide Apps.

Aplikasi sebegini bukan sahaja digunakanoleh remaja malah turut melibatkan orang dewasa.

Golongan dewasa yang sudah berkahwin juga terdedah dengan kesan buruk aplikasi ini yang menggalakkan ketidakjujuran terhadap pasangan masing-masing.

Tidak dinafikan akan kepentingan telefon pintar pada masa kini yang memudahkan urusan harian dan perhubungan.

Tetapi, sekiranya tidak digunakan secara baik, kelak boleh memakan diri dan menghancurkan institusi kekeluargaan.

NADZRAH SA’ADAN

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor