MESEJ WhatsApp palsu yang menyatakan penerima telah memenangi RM20,000.

Secara jujurnya, saya cukup gembira selepas dipilih menjadi pemenang wang tunai RM20,000. Bukan senang hendak dapat RM20,000 sekelip mata. Namun secara tiba-tiba saya mula terfikir. Entah-entah mesej ini palsu. Mudah sangat mereka hendak beri saya RM20,000. Atas nasihat seorang rakan, saya kemudian melayari laman web rasmi Nestle Malaysia.

Ternyata benar, mesej palsu. Malah pihak Nestle Malaysia dalam satu kenyataan media bertarikh 29 Disember 2017 menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya mesej berkenaan dan jangan sesekali memberikan maklumat peribadi penerima kepada pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

Menurut kenyataan media itu lagi, Nestle memandang serius isu tersebut dan mereka telah membuat laporan kepada pihak berkuasa. Nestle juga meminta mana-mana pihak yang menerima mesej seumpama itu segera menghubungi unit khidmat pelanggan syarikat berkenaan dengan segera.

Selepas membaca maklumat ini saya mula mengesyaki mungkin ini salah satu cara untuk memperdayakan orang ramai melalui aktiviti scam. Mereka dengan tanpa bersalah menggunakan nama syarikat-syarikat yang besar. Saya dimaklumkan oleh seorang rakan selain Nestle, nama syarikat-syarikat telekomunikasi yang terkenal turut digunakan.

Mereka akan mengirimkan mesej melalui WhatsApp secara rambang dan menyatakan penerima berkenaan telah memenangi hadiah wang tunai RM20,000 dan untuk menguruskan tuntutan, penerima dikehendaki membuat panggilan melalui nombor yang telah diberikan.

Di sinilah permainan mereka akan bermula sehinggalah penerima mesej itu akhirnya terpedaya dan menyerahkan wang ringgit mereka kepada scammer. Diharap perkongsian ini dapat memberi satu bentuk kesedaran agar kita semua lebih berhati-hati. Jika kita menerima mesej serupa, sila abaikan atau laporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

ANAS
Seremban 2